comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes demam denggi berkurangan, 3 kematian dilaporkan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-40 tahun 2024 (ME 40/2024) menurun kepada 1,639 kes berbanding 1,760 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, terdapat tiga kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada minggu tersebut.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME 40/2024 adalah sebanyak 105,149 kes berbanding 91,910 kes bagi tempoh sama tahun 2023.

“Manakala terdapat 95 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 67 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan pada ME 40/2024 adalah sebanyak 35 lokaliti berbanding 33 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

Daripada jumlah itu, sebanyak 26 lokaliti di Selangor, empat lokaliti di Pulau Pinang, Negeri Sembilan (2) serta masing-masing satu lokaliti di Johor, Kelantan dan Sabah.

Mengulas lanjut, menurut Dr Muhammad Radzi, terdapat dua kes chikungunya direkodkan pada ME 40/2024 dengan jumlah kumulatif kes penyakit tersebut sehingga kini adalah 78 kes.

Tiada wabak chikungunya dilaporkan pada minggu terbabit.

“Bagi survelan zika, sebanyak 2,081 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan zika
dengan keputusan adalah negatif,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang awam supaya mengambil langkah-langkah pencegahan terutama ketika berada di luar rumah pada waktu puncak.

Ujarnya, nyamuk Aedes yang menyebarkan penyakit demam denggi paling aktif menggigit pada dua waktu puncak iaitu pada awal pagi dari jam 5 hingga 8 pagi dan lewat petang dari jam 5 hingga 8 malam.

“Antara langkah yang disarankan adalah memakai pakaian yang berwarna cerah yang menutupi kulit seperti baju lengan panjang dan seluar panjang.

“Selain itu, penggunaan repelen atau penghalau nyamuk pada bahagian kulit yang terdedah juga disyorkan untuk menghindari daripada terkena gigitan nyamuk Aedes,” katanya.

Orang awam juga diingatkan untuk menjaga kebersihan persekitaran dengan meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk mencari dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes bagi menurunkan risiko jangkitan denggi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini