Tumpuan :
Nasional

Kes dadah penyanyi dikir barat: Keluarga harap peguam cari bukti, saksi

Ahli keluarga penyanyi dikir barat menunggu di luar mahkamah wilayah Narathiwat. FOTO NSTP

NARATHIWAT: Keluarga kepada penyanyi dikir barat warga Malaysia yang didakwa berkaitan kes dadah menyerahkan kepada pihak peguam untuk mencari bukti dan saksi diperlukan.

Ia susulan arahan hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat, Yuan Khao Kham, semalam yang meminta enam tertuduh yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah untuk mencari bukti dan saksi bagi menyokong tuntutan mereka.

Selain penyanyi Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30 atau lebih dikenali Eda Ezrin yang terkenal dengan lagu ‘Bae Sobar Bae’ itu, lima lagi yang didakwa termasuk suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35, selain Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33, Erdeka Mohd Noor, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26.

Ahli keluarga penyanyi itu yang enggan namanya didedahkan berkata, hanya peguam yang dilantik menjadi harapan buat mereka untuk mendapatkan segala bukti diperlukan bagi membantu semua tertuduh dalam kes itu.

“Kami harap peguam dapat mencari segala bukti dan juga saksi yang dipinta pihak mahkamah bagi membantu semua bebas dari tuduhan itu.

“Buat masa ini, kami sekeluarga hanya mampu berdoa agar akan ada keajaiban dalam kes ini,” katanya.

Sementara itu, ahli keluarga salah seorang dari tiga lelaki yang ditahan bersama Eda Ezrin berkata, pihaknya terpaksa membayar lebih RM50,000 kepada peguam dilantik.

“Kami bukannya dari keluarga orang berada, tapi kami terpaksa berusaha keras mencari duit bagi membayar peguam.

“Kami berharap anak dan menantu kami kembali semula kepada keluarga dalam tempoh terdekat,” kata lelaki berusia 60-an itu ketika ditemui pemberi di luar perkarangan mahkamah.

Semalam, semua enam tertuduh termasuk penyanyi berusia 30 tahun itu dituduh di Mahkamah Wilayah Narathiwat atas pertuduhan memiliki 6,059 pil Yaba dan penggunaan dadah yang didakwa dilakukan mereka di bandar Sungai Golok pada 1 November lalu.

Semua tertuduh masing-masing tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki pil berkenaan, namun mengaku bersalah bagi pertuduhan menggunakan dadah di hadapan Hakim Mahkamah Daerah Narathiwat, Yuan Khao Kham.

Keenam-enam mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah hotel di bandar Sungai Golok sekitar jam 5 pagi (waktu Thailand) pada 1 November lalu.

Zuhaira dan Erdeka turut didakwa memasuki Thailand tanpa dokumen sah, selain tinggal melebihi tempoh masa dibenarkan.

Keenam-enam mereka diwakili tiga peguam termasuk seorang peguam yang disediakan oleh kerajaan Thailand.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini