KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis yang ditahan berkaitan kes kecurian wang tunai berjumlah RM85,000 disambung reman hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata tindakan itu bagi membolehkan siasatan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
“Saya nak tegaskan bahawa kita terus buat siasatan selepas menerima maklumat insiden membabitkan tiga anggota dan menahan semua mereka.
“Jadi tiada isu hendak lindungi pegawai atau anggota kita (polis), kita tidak akan bertolak ansur, kalau ada pegawai yang ditahan dan dituduh, kita akan menjalankan siasatan.
“Kalau ada asas kita akan tahan mereka dan tidak akan melindungi pegawai atau anggota,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, hari ini.
Ayob berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Tegasnya, kejadian itu tidak akan melemahkan pihak berkuasa itu untuk menjalankan operasi terhadap penempatan warga asing.
Media sebelum ini melaporkan, tiga anggota polis ditahan selepas disyaki terbabit kes kecurian wang tunai RM85,000 di sebuah premis di Lebuh Pudu, di sini, yang diserbu dalam Operasi Khas (Op Khas) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Khamis lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, polis menerima laporan kejadian jam 12.36 tengah malam pada 22 Disember dan tiga anggota berusia 26 hingga 35 tahun yang dipercayai terbabit ditahan dan direman sehingga 26 Disember.