comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes culik kanak-kanak: Ibu bapa mangsa tidak kenal 5 suspek – Polis

JOHOR BAHRU: Ibu atau bapa Albertine Leo Jia Hui, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang diculik Sabtu lalu, tidak mengenali lima suspek yang ditahan polis berhubung kes berkenaan.

Mengesahkan demikian, Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, setakat ini polis masih menyiasat motif penculikan kanak-kanak itu dan hubungan sesama suspek.

“Siasatan masih berjalan, motif penculikan juga masih disiasat, begitu juga hubungan suspek sesama suspek. Selepas dilengkapkan siasatan, kita akan maklumkan hasilnya,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Ditanya kemungkinan akan ada tangkapan baharu, Kumar berkata, masih terlalu awal untuk polis memaklumkan perkara itu.

“Seperti saya katakan, siasatan sedang dijalankan. Masih terlalu awal untuk katakan begitu,” katanya.

Mengenai baju dipakai salah seorang suspek yang memaparkan motif festival Bon Odori ketika ditahan polis yang mungkin menunjukkan dia peniaga di lokasi kejadian penculikan itu, Kumar berkata, baju itu boleh dibeli sesiapa sahaja.

Pada masa sama, beliau memaklumkan, empat suspek pertama yang ditahan reman selama empat hari sehingga esok akan dibebaskan dengan jaminan polis sekiranya tiada keperluan untuk disambung reman.

“Untuk empat tangkapan yang direman sehingga esok, sekiranya tiada keperluan, kita akan beri jamin polis, tetapi tertakluk kepada perkembangan semasa siasatan yang dijalankan,” jelasnya.

Albertine Leo disedari hilang kira-kira jam 8.30 malam pada Sabtu lalu oleh ibu bapanya yang berniaga di Festival Bon Odori di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri, dekat sini.

Kes kemudian diklasifikasikan daripada laporan orang hilang kepada Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik, susulan penahanan tiga suspek berusia 28 hingga 55 tahun Isnin lalu.

Dua lelaki dan seorang wanita itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang di sekitar kawasan Gelang Patah sebelum tangkapan susulan dibuat terhadap seorang lagi wanita berusia 40-an sekitar daerah ini, jam 12.15 tengah hari kelmarin.

Keempat-empat suspek warga tempatan itu kemudian direman empat hari sehingga Jumaat ini.

Polis kemudian berjaya menyelamatkan mangsa yang juga anak ketiga daripada empat beradik di sebuah hotel murah di Batang Kali, Selangor, kira-kira jam 4.45 pagi kelmarin.

Suspek kelima yang ditahan, seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang ada bersama mangsa, dipercayai membawa budak perempuan itu dari Johor ke Selangor dengan sebuah kereta.

Lelaki itu kemudian dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan dibenarkan ditahan reman selama tujuh hari hingga Isnin depan.

Loading...
Terkini