comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes COVID-19 meningkat 57.3% pada ME47/2023 – KKM

PUTRAJAYA: Sebanyak 3,626 kes COVID-19 dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-47 (ME 47/2023) iaitu dari 19 hingga 25 November lalu, meningkat 57.3% berbanding 2,305 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, majoriti kes iaitu 48% membabitkan mereka yang berumur antara 20 hingga 40 tahun dan lebih 98 peratus hanya bergejala ringan.

Beliau berkata, kes mingguan COVID-19 dikesan telah melepasi angka 1,000 pada setiap minggu sejak ME 41/2023 hingga ME 47/2023 dengan kadar peningkatan antara 7.1 hingga 57.3%.

Dr Muhammad Radzi berkata, terdapat lapan kluster COVID-19 yang masih aktif dilaporkan dengan 121 kes terlibat dalam kluster berkenaan.

“Jumlah kumulatif kluster yang dilaporkan hingga ME 47/2023 ialah 7,248. Majoriti kluster yang dicatatkan ialah kluster pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata, kadar kemasukan pesakit COVID-19 termasuk yang disyaki virus itu ke fasiliti kesihatan meningkat kepada 2.9 bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 47/2023 berbanding minggu sebelumnya.

Pada ME 47/2023, pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 0.4 peratus, manakala pengisian katil bukan kritikal COVID-19 (0.9 peratus) dan pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) kekal pada 0.2%.

Walaupun terdapat peningkatan kes COVID-19 menurut beliau, keadaan adalah terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada.

Dalam pada itu, Dr Muhammad Radzi berkata dua kes varian Omicron baharu BA.2.86 dilaporkan di Malaysia pada ketika ini dengan kedua-dua kes dirawat sebagai pesakit luar dan dalam keadaan stabil.– BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini