comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes COVID-19 di Sabah naik mendadak 315 peratus

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Kes COVID-19 di Sabah mencatat peningkatan mendadak dengan kenaikan jumlah pesakit positif virus berkenaan mencecah 315 peratus kepada 216 kes sepanjang minggu lalu atau Minggu Epidemiologi (ME) 49/2023.

Jumlah itu menunjukkan pertambahan ketara berbanding hanya 52 kes pada ME 48/2023.

Menteri Penyelaras COVID-19 Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata semua kes yang dicatat pada ME 49/2023  adalah kes tempatan dengan purata kes aktif sebanyak 19 kes sehari berbanding hanya tiga kes sehari pada ME 48/ 2023.

Daerah Kota Kinabalu mencatat kes tertinggi dengan 82 kes berbanding hanya enam kes pada minggu sebelumnya, diikuti daerah Penampang sebanyak 21 kes berbanding tiada kes direkodkan pada ME 48 dan daerah Papar dengan 18 kes pada minggu lalu, berbanding hanya lima kes pada minggu sebelumnya.

“Terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di Sabah dan seluruh Malaysia. Walau bagaimanapun, ia masih dalam keadaan terkawal.

“Rakyat Sabah dinasihatkan untuk mengamalkan penjagaan kendiri bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19.

“Penggunaan pelitup muka bagi yang bergejala adalah digalakkan apabila berada di tempat awam terutamanya kawasan tumpuan orang ramai yang sesak,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, laporan COVID-19 sepanjang ME 49/2023 turut menunjukkan tiada daerah mencatat penurunan kes.

Katanya, sebanyak 17 daerah di Sabah mencatat kenaikan kes, manakala 10 daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu sepanjang minggu lalu.

“Daerah yang tidak mencatat sebarang kes baharu ialah Kudat, Kota Marudu, Pitas, Tambunan, Nabawan, Tongod, Semporna, Kunak, Kalabakan dan Telupid.

“Bagi daerah yang mencatat peningkatan jumlah kes COVID-19 ialah Kota Kinabalu, Penampang, Kota Belud, Papar, Beaufort, Sandakan, Keningau, Ranau, Kuala Penyu, Tenom, Tuaran, Tawau, Putatan, Sipitang, Beluran, Kinabatangan dan Lahad Datu,” katanya.

Dr Joachim bagaimanapun berkata, tiada kes kematian akibat COVID-19 di Sabah sepanjang dua minggu lalu, manakala jumlah pesakit yang dirawat di hospital ketika ini ialah 118 orang.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini