comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kes bunuh Zayn Rayyan: Stoking bukan milik mangsa

PETALING JAYA: Sehelai stoking yang ditemukan dalam takungan air di kawasan anak sungai berhampiran lokasi mayat kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, bukan milik mangsa.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil analisis yang dijalankan di makmal mendapati keputusannya negatif dan bukan milik kanak-kanak itu.

“Stoking yang ditemui itu juga selepas analisa dijalankan bukanlah milik mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, polis masih meneruskan usaha pencarian sebarang bukti baharu di tempat kejadian.

“Kita juga sudah merakam keterangan seramai 172 orang termasuk ibu bapa, saksi, jiran dan penduduk di apartmen terbabit,” tambahnya.

Sebelum ini, media melaporkan polis menemui sehelai stoking dalam takungan air di kawasan anak sungai berhampiran lokasi mayat Zayn Rayyan ditemukan.

Terdahulu, polis mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor bagi membantu menyedut keluar takungan air di lokasi penemuan mayat mangsa bagi melihat sama ada wujud bukti baharu.

Zayn Rayyan yang dilapor hilang pada 5 Disember lalu ditemui meninggal dunia pada 6 Disember dengan mayatnya ditemukan di kawasan saliran air berhampiran rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini