comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes bunuh Zayn Rayyan: ‘Saya terkejut …pada awalnya hanya cari orang hilang’ 

Aliran sungai berhampiran Apartment Idaman di Damansara Damai di mana mayat adik Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemukan.

PETALING JAYA: Faizol Najib Abdul Naim, individu yang menemukan mayat Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, berkata dia terkejut dengan berita pembunuhan kanak-kanak autistik itu kerana pada awalnya penduduk hanya mencari orang hilang.

Menurutnya, sebaik mengetahui berita Zayn Rayyan dibunuh, dia kemudian menghubungi pihak polis untuk mendapat pengesahan sebelum diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk dirakam percakapan membantu siasatan.

“Saya agak terkejut kerana tidak sangka jadi seperti itu (bunuh) kerana pada awalnya penduduk hanya mencari orang hilang dan ketika menerima berita itu saya kebetulan hendak ke Kedah atas urusan kerja.

“Malam tadi juga saya diminta hadir sekali lagi ke IPD Petaling Jaya untuk dirakam percakapan,” katanya ketika dihubungi.

Faizol, 45, yang sudah 13 tahun menetap di Apartment Saujana berhampiran Apartmen Idaman berkata dia bersama penduduk melakukan pencarian pada malam pertama arwah hilang.

”Cumanya pada malam pertama, pencarian itu agak kurang sedikit kerana mungkin orang ramai beranggapan adik Zyan lari dan akan pulang semula,” ujarnya lagi.

Pada malam kedua pencarian, dia bersama penduduk Apartmen Saujana mengadakan solat hajat selepas solat Isyak sebelum memulakan pencarian.

“Alhamdulillah, Allah makbulkan doa kami apabila memulakan pencarian pada malam itu akhirnya menemukan arwah.

“Ketika itu, saya cuma nampak dia (Zayn) seperti sedang tidur dalam kepenatan menunggu orang mengambilnya sebelum saya terus menghubungi rakan-rakan lain dan memaklumkan kepada polis yang sedang melakukan pencarian rumah ke rumah,” katanya.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan di saliran air berdekatan takungan air, kira-kira 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, kira-kira jam 10 malam, Rabu lalu.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian kanak-kanak itu diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini