comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes bunuh Zayn Rayyan : Polis terbangkan dron di lokasi penemuan mayat 

Anggota polis menerbangkan dron di sekitar kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya untuk mengesan sebarang bukti dan laluan tikus di kawasan penemuan mayat Zayn Rayyan. -Foto: NSTP

PETALING JAYA: Pasukan penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerbangkan dron di kawasan penemuan mayat kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, hari ini.

Difahamkan, ia bagi mengesan sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan kejadian pembunuhan kanak-kanak berusia enam tahun  itu selain kemungkinan terdapat laluan tikus di kawasan berkenaan.

Operasi menerbangkan dron  dilakukan sepasukan anggota dari Unit Drone Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman kira-kira jam 5 petang.

Unit dron itu diterbangkan pada ketinggian kira-kira 30 meter di sekitar belukar dan anak sungai yang menjadi lokasi penemuan mayat mangsa.

Sebelum itu, pasukan penyiasat turut  memeriksa kenderaan yang diparkir di sekitar Blok R dan S bagi melihat jika terdapat sebarang kamera papan pemuka pada kenderaan itu.

Ia dipercayai bertujuan mendapatkan rakaman yang dapat membantu siasatan.

Pada Selasa lalu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang oleh ibunya di apartment berkenaan pada jam 12.30 tengah hari, sebaik diambil dari Sekolah Kebangsaan Damansara Damai 2 (SKDD2).

Susulan itu, operasi pencarian dijalankan oleh polis termasuk kerjasama unit anjing pengesan (K9) dan bomba di sekitar kawasan itu sebelum mayatnya ditemui penduduk yang menyertai operasi.

Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh selepas keputusan bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan pada leher dan badan mangsa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini