Tumpuan :
Nasional

Kes bunuh Farah Kartini: Keluarga masih belum tuntut jenazah

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

SUNGAI BULOH: Sehingga tengah hari ini, jenazah mangsa kes bunuh Nur Farah Kartini Abdullah, 25, masih belum dituntut keluarga.

Difahamkan, urusan menuntut jenazah akan dilakukan sebaik sahaja urusan pengambilan sampel DNA ibu mangsa di Hospital Kuala Kubu Bharu, selesai.

Perkara itu disahkan Abang mangsa, Mohd Farriza Amir Abdullah, 28 tahun menerusi applikasi whatsapp kepada Buletin TV3.

Menurut beliau, pihak keluarga mahu menyelesaikan dahulu urusan pengambilan sampel DNA ibu mereka yang dilakukan di Hospital Kuala Kubu Bharu sebelum menuntut jenazah mangsa.

“Saya tak pasti lagi jam berapa boleh datang ke Jabatan Forensik untuk tuntut jenazah. Kami perlu selsaikan perkara ini dulu ( urusan pengambilan sampel DNA ibu) di Hospital Kuala Kubu Bharu”, katanya.

Menurut beliau, jenazah Nur Farah akan dikebumikan di Pekan, Pahang .

Bagaimanapun  beliau tidak mahu berkongsi maklumat lanjut berhubung perkara itu.

“Saya akan kongsikan kepada media sebaik tiba di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh nanti”.

Sementara itu sehingga jam ini, tiada kelibat ahli keluarga mahupun waris terdekat berada di Jabatan Forensik.

Semalam proses bedah siasat mangsa selesai sepenuhnya pada jam 5.30 petang.

Isnin lalu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mayat wanita itu ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang , Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang.

Pemeriksaan awal mendapati mayat itu dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang di Tanjung Malim, Perak pada 11 Julai lalu.

Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim.

Susulan itu, seorang anggota polis yang dipercayai teman lelaki mangsa direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini