Oleh Juliana Sharin
PETALING JAYA: Polis mengesahkan penjawat awam yang ditahan berhubung penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, adalah anggota polis.
Pengesahan itu dibuat Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan Datuk Hussein yang memaklumkan suspek adalah anggota polis yang bertugas di Perak.
Siasatan awal pihaknya juga mendapati tempat penemuan mayat adalah lokasi kejadian utama.
Mayat Nur Farah Kartini yang hilang sejak 10 Julai itu juga katanya sudah mereput.
“Suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 di sini hari ini.
Suspek yang berbaju oren tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu kira-kira jam 8.51 pagi dengan diiringi anggota polis.
Terdahulu, media melaporkan Nur Farah Kartini hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan ditemukan mati dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.
Polis menerima laporan berhubung kehilangan Nur Farah Kartini berasal dari Miri, Sarawak yang juga bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 1.56 pagi, 10 Julai lalu.
Kali terakhir wanita berkenaan dilihat memakai pakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.