comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kes bunuh Farah Kartini: Paras air sungai meningkat, arus deras, faktor operasi ditangguhkan – Polis

Oleh: Fareez Azman

TROLAK: Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim mengesahkan operasi pencarian barangan milik Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, di Sungai Slim, Kampung Batu 4 di sini terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan.

Jelasnya, keputusan penangguhan itu dibuat selepas mengambil kira paras air sungai yang meningkat serta arus deras.

“Paras air sungai naik dan arus deras oleh kerana hujan pagi tadi. Paras air sungai naik lebih 1 meter dari kali pertama carian dilakukan (Rabu lalu).

“Setelah mengambil kira keadaan dan struktur sungai yang mempunyai sisa kayu, tidak selamat untuk pasukan penyelam untuk meneruskan operasi pencarian,” jelasnya ketika dihubungi media.

Ditanya bilakah operasi akan disambung semula jelasnya, ia bergantung pada keadaan cuaca di sekitar lokasi itu.

“Bergantung pada keadaan cuaca dan kesiapsiagaan pasukan forensik,” katanya lagi,

Terdahulu, pasukan forensik PDRM Bukit Aman tiba di lokasi kedua itu kira-kira jam 11.10 pagi tadi sebelum beredar sejam kemudian.

Rabu lalu, pasukan mencari melibatkan Unit Forensik dan Unit Siasatan Sub-Akuatik Forensik PDRM berjaya menemui beg dipercayai milik Allahyarham.

Beg berkenaan ditemui kira-kira 270 meter dari jambatan Sungai Slim.

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.

Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim, ditahan pada hari yang sama.

Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini