HULU SELANGOR: Sebuah kebun ubi di Kampung Klan Halt, Slim River, Perak hari ini menjadi tumpuan pasukan forensik dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mencari bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, siasatan mendapati kebun ubi itu diusahakan suspek berusia 26 tahun secara sambilan.
Pada masa sama, beliau menafikan kebun itu milik suspek.”Memandangkan siasatan masih lagi berjalan, kita tidak boleh menjelaskan (soalan tambahan lain) dengan lebih lanjut lagi.
“Tunggu Ketua Polis Selangor (Datuk Hussein Omar Khan) membuat kenyataan rasmi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan di kebun ubi itu dan pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk menganalisa kereta suspek jenis Toyota Vios.
“Pada masa sama, analisa juga akan dilakukan ke atas kad sim telefon bimbit milik suspek,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Asri memaklumkan pemantauan IPD Muallim di Sungai Trolak mendapati keadaan sungai tidak mengizinkan untuk pasukan penyelam meneruskan pencarian.
Kelmarin, media melaporkan beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini, 25 ditemui ketika operasi pencarian bahan bukti dilakukan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan mengesahkan berhubung penemuan bahan bukti itu.
Untuk rekod, operasi pencarian baki bahan bukti kes pembunuhan mangsa diteruskan di sebuah lagi lokasi kira-kira 20 minit dari Kampung Sri Keledang.
Hussein berkata, operasi tersebut bagi mencari bahan bukti dipercayai barangan peribadi milik mangsa.
Pada hari yang sama, Hussein turut mengesahkan pihaknya menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa yang dibuang di dalam parit di ladang kelapa sawit.
Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.
Susulan itu, suspek lelaki berusia 26 tahun yang juga bekerja sebagai anggota polis ditahan pada hari yang sama.
Suspek kemudian direman tujuh hari sehingga 22 Julai depan untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa