comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kes bunuh Farah Kartini: Dia teruja nak sangat masak laksa Sarawak untuk saya – Abang

 

Oleh: Fareez Azman

SERDANG: “Allahyarham tidak pernah masak Laksa Sarawak untuk saya, tapi Aidiladha lalu dia nak sangat masak,” itu luah Mohd Farriza Azmi, 28, abang kepada Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah.

Jelas Mohd Farriza, beliau tidak menyangka permintaan adiknya ketika menyambut Aidiladha bersama di rumahnya di sini Jun lalu itu merupakan masakan kali pertama dan terakhir buatnya.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Buletin TV3 (@buletintv3)

“Dia cakap nak ikut balik kampung raya haji tapi saya tak ada cuti, jadi saya ajak datang rumah saya. Hajat dia nak ikut saya balik kampung tak kesampaian. Dia nak sangat masak laksa Sarawak masa itu.

“Itu kali pertama kali dia masak untuk saya, memang sedap sangat,” ujarnya kepada Buletin TV3 ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Ketika menceritakan keperibadian Allahyarham, beliau tidak dapat menahan sebak mengenangkan adiknya yang sudah tiada.

Allahyarham Nur Farah Kartini jelasnya, merupakan seorang adik yang baik dan ceria ketika bersama keluarga.

“Masa dia datang (rumah) memang nampak macam dia tak ada masalah. Dia ceria selama dia kat sini, itu kali pertama dia nak sangat masak.

“Pasal belajar kita tak sangka dia bijak pandai, kita tahu pun pasal pencapaian akademik dia selepas kes ini berlaku. Sebab tidak pernah dia kongsi, kita baru tahu lepas kes ini,” katanya.

Setiap kali ada kelapangan, Allahyarham Nur Farah Kartini, akan meluangkan masa berehat di rumahnya.

“Tak pernah sekali pun dia cerita (kalau ada masalah), kalau cuti dan ada kelapangan dia datang sini. Ini tempat dia berehat.

“Kawan-kawan Allahyarham yang jumpa kami semua cakap, dia sangat baik, ramah dan sanggup bantu kawan-kawan. Kadang kala orang yang tidak kenal pun dia sanggup bantu.

“Ada kawan dia jumpa dan bagitahu saya, masa kawan dia kemalangan, adik sayalah orang pertama tunggu dan tolong dia daripada awal sampai habis di wad kecemasan. Itu pun saya terkejut, walaupun tak kenal orang tu pun dia tolong,” kongsinya lagi.

Berkongsi cerita lagi, tambah Mohd Farizza, Allahyarham seorang yang kuat bekerja dan rajin untuk mencari wang untuk membantu keluarga.

Pada masa sama, Allahyarham dijangka menjalani temuduga sebagai guru pada Ogos depan, namun takdir menentukan segalanya apabila mangsa pergi buat selamanya.

“Dia rajin cari duit, dia suka pergi berjalan. Dia suka kamera dia suka record ini semua. Dia nak tunggu interview cikgu bulan Ogos, sebab tu dia tinggal di Tanjung Malim buat sementara.

“Banyak orang tanya kenapa duduk Tanjung Malim, dia tunggu interview. Dia pernah cakap dia suka jadi cikgu dia nak jadi cikgu,” katanya lagi.

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor, kira-kira jam 6 petang.

Mangsa yang berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim.

Susulan itu, seorang anggota polis yang juga suspek utama direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini