Tumpuan :
Nasional

Kes buli UPNM: Siasatan kekal telus, tidak lindungi sesiapa – Mohamed Khaled

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Oleh: Atikah Azlan

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap kes buli melibatkan pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan dilaksanakan secara telus tanpa melindungi mana-mana pihak, tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Jelasnya, kementerian berpendirian teguh untuk tidak berkompromi dengan sesiapa terutama mebabitkan isu disiplin dan kes buli.

“Perkara ini masih dalam siasatan pihak polis dan Akademi Latihan Ketenteraan. Jadi kita kena tunggu siasatan dan apa isu yang sebagainya, sebab dia (pelaku) adalah seorang kadet, jadi apa-apa hukuman kita akan beritahu kemudian.

“Semua pihak perlu faham kejadian ini bukannya ragging dan bukannya (sesi) orientasi, mereka adalah pelajar tahun dua dan empat, ia adalah insiden tersendiri.

“Kejadian itu terjadi bukannya secara berkumpulan, maknanya mungkin dia bergaduh kerana isu peribadi dan kita tidak tahu punca,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ke-34, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan, seramai 16 individu dirakam percakapan membabitkan mangsa, suspek, penuntut dan kakitangan UPNM.

Katanya, ketika ini siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pada 22 Oktober lalu, sekitar jam 11.45 malam, mangsa mendakwa didatangi senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.

Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan.

Akibat daripada kejadian, mangsa mengalami kecederaan melecur.

Laporan polis dibuat mangsa pada Jumaat lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini