Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kes buli UPNM: Polis sudah rakam keterangan 16 individu

 

KUALA LUMPUR: Polis sudah merakam keterangan 16 individu dalam kes pegawai kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dibuli oleh seniornya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, 16 yang dirakam percakapan membabitkan mangsa, suspek dipercayai pelaku, penuntut dan kakitangan UPNM.

“Keterangan mereka adalah penting untuk membantu siasatan yang dijalankan bagi membolehkan kita melengkapkan siasatan.

“Pada masa ini kita masih menunggu laporan perubatan yang dijalankan terhadap mangsa iaitu pegawai kadet tahun dua (UPNM),” katanya hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pada masa ini, Polis Kuala Lumpur juga belum mengesahkan sama ada seterika yang digunakan sudah dirampas untuk siasatan.

Dalam kejadian jam 11.45 malam, 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok baju miliknya.

Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu sebelum menekap bahagian dada sebelah kanan sebanyak satu kali.

Akibat daripada kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menjerit kesakitan.

Mangsa membuat laporan polis pada malam Jumaat lalu (1 November) dan keterangan daripadanya juga sudah direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini