comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes buli UPNM: Hukuman dijangka diketahui 2 minggu lagi

Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

KOTA TINGGI: Hukuman terhadap lima pelaku membabitkan dua kes buli pelajar termasuk menggunakan seterika di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), bakal diketahui dua minggu lagi.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kementeriannya sudah memutuskan hukuman itu namun ia perlu mendapat pengesahan daripada Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT).

“Kementerian pertahanan telah ada keputusan mengenai kadet (pelajar UPNM) yang terlibat tempoh hari ini. Kita hanya menunggu pengesahan daripada Majlis Angkatan Tentera.

“Kalau memang mereka akan dihukum untuk dibuang, mereka perlu bayar denda iaitu pulang balik segala tanggungan yang kerajaan telah keluarkan sepanjang mereka jadi kadet pelajar di universiti dan mereka mesti keluar dari Akademi Latihan Ketenteraan (ALK).

“Maknanya, bila hukuman disahkan dalam mesyuarat MAT dalam masa dua minggu lagi, keputusan sudah ada seperti yang telah saya katakan,” katanya lapor BH Online.

Pada 8 November lalu, Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22 didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas pada jam 11.45 malam di ALK UPNM di Kem Sungai Besi di sini.

Kes kedua pada 21 Oktober lalu membabitkan seorang penuntut tahun satu yang mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang akibat dipijak penuntut senior. Kes itu didedahkan pada 10 November lalu.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata selain mengenakan hukuman berat terhadap pelaku, kementeriannya juga akan memperketatkan tindakan terhadap pihak atau individu yang menyorokkan insiden buli di UPNM serta pihak tidak memaklumkan kejadian buli terbabit.

“Selain usaha menambah jurulatih dan mengasingkan pelajar tahun satu dan pelajar senior, kita juga akan memperketatkan hukuman dan menghebahkan supaya semua tahu sebagai satu literal kalau sesiapa terlibat dalam soal kekejaman, buli dan penderaan, hukuman adalah sangat berat.

“Kita juga akan memperketatkan tindakan terhadap mereka yang menyorok atau tidak memaklumkan (kejadian buli). Jadi ini antara yang kita buat.

“Saya ingin jelaskan, latihan tentera memang berat tetapi tidak sehingga melakukan kekejaman ataupun sehingga memukul guna seterika,” katanya.

Mohamed Khaled berkata kementeriannya bersikap terbuka dan tidak menghalang mangsa buli membuat laporan sekiranya terdapat elemen jenayah.

“Kita terbuka, kita tiada sekatan. Kalau ada yang merasakan kes itu jatuh dalam soal jenayah, maka terpulang kepada setiap kadet untuk buat laporan polis. Dari segi kementerian, kita tak halang,” tambahnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini