Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Tuduh menuduh dipercayai menjadi punca seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) didakwa dipukul secara bergilir-gilir oleh 12 pelajar universiti itu hingga mengalami kecederaan serius.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan terperinci berkaitan kes itu.
“Punca pergaduhan mungkin kerana mereka menuduh mangsa melakukan satu aktiviti yang menyalahi norma seorang manusia, saya tidak mahu sebut apa tuduhan tu.”
“Setakat ni laporan doktor mengesahkan, tiada kecederaan dalaman atau patah tulang dikesan, mangsa hanya lebam sahaja dan pemantauan ke atas mangsa diteruskan”, katanya selepas sidang media rampasan dadah Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Terengganu.
Polis mengesahkan objek tumpul yang dirampas adalah kayu.
Dalam pada itu, Datuk Khairi menasihati pelajar institusi pendidikan agar tidak terlibat dalam insiden pergaduhan yang boleh membawa kecederaan.
“Bagi pelajar pusat pengajian tinggi atau sekolah, pihak polis menasihatkan supaya tidak melakukan kekerasan jenayah kepada pelajar lain. Jika didapati bersalah, mereka akan dihadapkan ke mahkamah. Pihak universiti juga akan mengambil tindakan. Polis akan bertindak berdasarkan tahap keseriusan jenayah yang dilakukan,” ujarnya.
Sementara itu, ujian air kencing ke atas 12 pelajar yang ditahan adalah negatif.
Ahad lalu, seorang pelajar berusia 21 tahun dari Kolej Kediaman Pelajar Lelaki UMT dilaporkan dibuli 12 pelajar universiti itu sehingga mengalami kecederaan teruk.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 1 hingga 5 pagi.
Mangsa, pelajar Jurusan Perakaunan, dipercayai dipukul secara bergilir-gilir, dicekik, ditendang, ditumbuk, dan dipukul menggunakan objek tumpul.
Mangsa menghubungi ibu-bapanya di Melaka, yang kemudian membawanya ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.
Polis menahan 12 suspek di IPT berkenaan dan Mahkamah Kuala Terengganu membenarkan reman selama empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.