comscore
Tumpuan :
Nasional

Kes buli siber pempengaruh: 9 saksi dirakam keterangan

KUALA LUMPUR: Polis telah merakam keterangan sembilan individu berhubung kes buli siber terhadap pempengaruh media sosial, A Rajeswary atau lebih dikenali sebagai Esha di media sosial TikTok.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, rakaman percakapan itu diambil bagi membantu siasatan berhubung laporan dibuat mangsa pada Rabu, sebelum ditemui meninggal dunia keesokan harinya.

“Siasatan masih dijalankan dan setakat ini sembilan saksi termasuk ahli keluarga mangsa sudah dirakam keterangan.

“Namun begitu, masih tiada tangkapan baharu dibuat,” katanya yang dipetik Berita Harian di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung fitnah dan ugutan terhadap Rajeswary susulan laporan polis daripada seorang pengguna TikTok pada Sabtu lalu.

Laporan dibuat seorang lelaki berusia 39 tahun pada jam 4.13 petang berhubung ugutan diterima Rajeswary menerusi aplikasi TikTok.

Laporan dibuat terhadap dua akaun TikTok yang didakwa melemparkan fitnah serta ugutan terhadap wanita itu.

Ahmad Sukarno dilaporkan berkata, kedua-dua akaun TikTok terbabit menggunakan gambar Rajeswary sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun media sosial suspek.

Bagaimanapun, katanya hasil semakan polis mendapati dua hantaran itu disyaki sudah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun TikTok berkenaan.

Ekoran itu polis menahan suspek yang bekerja sebagai pembantu rumah jagaan orang tua ditahan di Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang, Selangor pada jam 1.45 pagi semalam.

Wanita itu kini direman tiga hari sehingga esok dan polis dalam usaha untuk mengesan seorang lagi pengguna TikTok yang dipercayai terbabit dalam kes ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).

Terdahulu, Ahmad Sukarno mengesahkan pihaknya ada menerima laporan daripada Rajeswary berhubung buli siber yang dihadapinya dan laporan dibuat di Balai Polis Sentul.

Laporan dibuat pada Rabu lalu sebelum sebelum Rajeswary, 30, ditemukan meninggal dunia di kediamannya sebuah kondominium di Setapak di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini