NILAI: Satu garis panduan berkaitan kegiatan buli di sekolah akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata KPM tidak berkompromi dengan aktiviti buli kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk setiap murid.
“Kita (KPM) tidak berkompromi dalam soal kes buli. Satu garis panduan yang akan dikeluarkan tidak lama lagi yang akan ada beberapa perkara yang kita sentuh termasuk buli siber.
“Hakikatnya, kita tidak boleh terima aktiviti buli ini dilakukan oleh anak-anak kita di sekolah,” katanya berucap merasmikan Seminar Pendidikan Madani 2023 bertemakan Memartabatkan Karamah Insaniah dan Membangun Generasi Madani di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.
“Kita tidak boleh bagi muka perkara ini (jenayah seksual), perkauman berlaku di sekolah walaupun isu perkauman ini datang setahun sekali atau setiap kali menjelang pilihan raya,” katanya.