Tumpuan :
Nasional

Kes buli: MINDEF tambah jumlah warden pantau pelajar

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

MELAKA: Kementerian Pertahanan mengambil beberapa langkah dan peraturan dalam usaha membendung insiden buli sehingga mengakibatkan kecederaan atau kematian dalam kalangan pelajar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) daripada berulang, pada masa hadapan.

Timbalannya Adly Zahari berkata antara penambahbaikan yang dilakukan ialah kawalan keselamatan dengan meningkatkan jumlah warden yang menjaga pelajar, agar lebih banyak tumpuan dapat diberikan kepada mereka.

“Kita tidak menerima kes buli yang berlaku dalam institusi pengajian tinggi dan kita tahu bahawa ia (buli) boleh berlaku antara pelajar dengan pelajar atau antara pelajar dengan pihak lain, tetapi kalau kita lihat dalam kes-kes sebelum ini, ia berlaku antara pelajar dengan pelajar.

“Jadi, di peringkat Kementerian Pertahanan, kita telah bincangkan dari awal lagi dalam kes sebelumnya bahawa, kita perlu tingkatkan hubungan antara warden dan pelajar dengan menambah bilangan warden,” katanya.

Adly berkata pihak kementerian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang insiden buli yang berlaku di UPNM dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peraturan yang ditetapkan.

Beliau berkata bagaimanapun sekiranya terdapat laporan polis dibuat, ruang kerjasama akan diberikan sepenuhnya bagi membantu siasatan berdasarkan undang-undang.

ATM dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet ALK-UPNM yang dibuli senior menggunakan seterika yang ditekap pada bahagian dada sehingga meninggalkan kesan lecur seperti yang tular dalam media sosial.

Difahamkan, perbuatan itu terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih bertugas ketika itu, selepas menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini