Tumpuan :
Nasional

Kes bayi 2 hari jatuh katil hospital, bapa lapor polis

Muhammad Syarifuddin Manan, 24, (tengah), bersama peguamnya, menunjukkan laporan polis dan gambar keadaan bayi perempuannya yang didakwa terjatuh dari katil bayi (baby cot) ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU: Pasangan suami isteri kecewa dengan keadaan bayi perempuan mereka yang kerap mengalami sawan selepas dikatakan terjatuh dari katil bayi di perkarangan sebuah hospital di sini, pertengahan bulan lalu.

Bapa bayi terbabit, Muhammad Syarifuddin Manan, 24, mendakwa bayi perempuannya terjatuh katil bayi ketika proses pemindahan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT) pertengahan bulan lalu.

Menurutnya, bayinya kini yang berusia 41 hari menghidap kuning sebelum dipindahkan untuk rawatan.

Katanya, pada hari kejadian, katil menempatkan bayinya yang berusia dua hari ditinggalkan tanpa pengawasan jururawat di kawasan jalan cerun menurun di laluan pusat rawatan ibu dan anak (PRIBA) ke unit kecemasan hospital berkenaan.

“Katil bayi itu secara tiba-tiba menggelungsur dan terbalik menyebabkan bayi kami terjatuh ke jalan,” katanya ditemui di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, semalam.

 

Muhammad Syarifuddin Manan, 24, menunjukkan laporan polis dan gambar keadaan bayi perempuannya yang didakwa terjatuh dari katil bayi (baby cot) ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu, semalam.

Terdahulu, Muhammad Syarifuddin bersama peguamnya, Mohd Hazwan Hamidun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.

Muhammad Syarifuddin dan isterinya, Wan Nur Farisyatu Ikmal Wan Fadali, 22, yang juga guru berkahwin pada tahun 2022 dan bersalin pada 15 November lalu.

Mengulas lanjut, Muhammad Syarifuddin berkata, kepala bayi perempuannya terhantuk permukaan jalan di perkarangan PRIBA.

Berikutan kejadian itu, katanya, anak sulungnya mengalami pendarahan di kepala dan sering mengalami sawan.

“Bayinya dimasukkan ke HSNZ sebanyak tiga kali iaitu pada 17 November hingga 4 Disember lalu.

“Kami juga sudah membuat laporan polis kali pertama pada 17 November lalu dan kali kedua pada hari ini (semalam),” katanya.

Ditanya maklum balas hospital, Muhammad Syarifuddin berkata, pengurusan hospital mengesahkan bayi itu terjatuh, tetapi menafikan kecuaian jururawat dan mendakwa kemalangan itu berlaku disebabkan keadaan jalan tidak rata.

“Kami ada mengemukakan permohonan untuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan lengkap, tetapi pengurusan HSNZ memberi alasan sulit untuk diberikan kepada orang awam.

BH sudah menghubungi hospital untuk mendapatkan maklum balas tetapi setakat ini belum ada jawapan rasmi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini