Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kes amang seksual kanak-kanak meningkat, ada mangsa seawal usia 5 tahun – Shuhaily

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Sebanyak 6,462 kes amang seksual melibatkan kanak-kanak bawah umur dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh empat tahun sehingga 2024.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, peningkatan itu berpunca daripada beberapa faktor antaranya kurang pengawasan terhadap anak-anak.

 

“Rogol bawah umur setiap tahun meningkat, kes amang seksual melibatkan kanak-kanak kalau diambil kira tahun ke tahun, tahun 2020 sebanyak 1,028 kes, 2021 (1,030 kes), 2022 (1,193 kes), 2023 (1,480 kes), tahun ini sebanyak 1,729 kes.

“Jadi jumlah keseluruhan melibatkan kes seksual kanak-kanak sepanjangan tempoh itu adalah 6,462 kes itu yang dilaporkan, yang tidak dilaporkan mungkin jauh lebih banyak,” jelasnya

Tambah Mohd Shuhaily, penelitian terhadap setiap kes mendapati kebanyakan kes jenayah seksual itu berlaku dalam kalangan masyarakat berpendapatan B40.

“Banyak kes-kes melibatkan budak bawah umur berlaku dalam golongan B40, yang mana dua tiga kes berlaku kerana kurang pengawasan.

“Bukan kerana ibu-bapa membiarkan tapi desakan kehidupan apabila ibu-bapa bekerja. Satu masa keberadaan penjaga itu seorang sahaja di rumah, oleh kerana kepenatan itu menyebabkan kurang pengawasan.

“Apabila tidak berjaya di sekolah maka (anak-anak ini) mencari satu escapism, ada orang berkepentingan ambil peluang mengajak mereka keluar dan akhirnya mereka terjebak.

“Ada dua tiga kes rogol kali pertama keluar, dimana mangsa kenal pelaku di laman sosial, itu yang saya lihat,” katanya ketika menjadi tetamu dalam siaran Podcast Edisi Khas, Buletin TV3, hari ini.

Dari sudut tindakan perundangan, jelas Mohd Shuhaily, ia sentiasa diambil terhadap pelaku, manakala mangsa pula dibantu dibawah agensi berkaitan.

Namun bagi jangka masa panjang, beliau melihat perlu ada undang-undang baharu yang lebih relevan dalam menangani isu itu.

“Si mangsa mungkin akan masuk ke Jabatan Kebajikan Masyakrakat (JKM), itu yang permohonan diterima, ada yang tidak diterima.

“Saya bercakap terus terang sebab ada satu kes, kanak-kanak itu baru berusia 12 tahun dia diserahkan kepada keluarga kerana penilaian mengatakan keluarga dia mampu. Hanya satu tahun lepas tu, datang kembali ke balai dengan kes rogol kedua.

“Sistem kita memang ada, kadang-kala sistem itu mengatasi tujuannya. Itu kanak-kanak usia 11 hingga 18 tahun, mereka melakukan jenayah seksual sekarang ini yang diluar akal kita seawal sembilan dan 5 tahun.

“Mereka ini dibawah undang-undang tidak melakukan jenayah, maka tidak boleh ambil tindakan undang-undang justeru itu tiada rekod,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini