Tumpuan :
Nasional

Kerusi, skrin LED ditambah sempena Hari Kebangsaan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Penyediaan kerusi dan pemasangan skrin LED lebih banyak untuk penonton sempena sambutan Hari Kebangsaan di Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, itu antara penambahbaikan bagi memeriahkan lagi sambutan yang dijangka dihadiri lebih 100,000 penonton.

“Jumlah pengunjung tahun lalu kira-kira 100,000 dan kita optimis jumlahnya bertambah tahun ini, kita sediakan tempat duduk lebih banyak dan skrin LED serta mod pengangkutan seperti teksi air disediakan selain boleh buat glamping,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) Tahun 2024, di sini hari ini.

Fahmi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HKHM turut menjangkakan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini lebih meriah dan masalah internet di lokasi sambutan akan lebih baik.

Pada majlis itu, Jawatankuasa Penajaan Kementerian Komunikasi menerima sumbangan penajaan daripada 29 rakan strategik berjumlah RM4.09 juta.

Ia membabitkan RM2.03 juta dalam bentuk wang tunai, barangan atau perkhidmatan, selain tajaan berjumlah RM2.06 juta berbentuk kereta berhias untuk acara perbarisan dan perarakan sambutan HKHM 2024.

Menurut Fahmi, sumbangan penajaan yang diterima dalam bentuk wang tunai akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Hari Kebangsaan yang digunakan bagi tujuan persiapan sambutan HKHM.

Ujarnya, sumbangan penajaan bagi barangan pula akan diedarkan dan diagihkan oleh Pasukan Sukarelawan Kementerian Komunikasi kepada orang ramai yang akan menghadiri sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya kelak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini