Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) dalam syarikat perniagaan fesyen dalam talian, Fashionvalet tidak akan menjejaskan keputusannya untuk melabur dalam syarikat pemula.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata Khazanah akan meneruskan usaha untuk menyokong ekosistem syarikat pemula dan modal teroka sambil menambah balik mekanisme kawalan.
“Isu fashionvalet tidak akan jejaskan khazanah untuk melabur dalam syarikat pemula,visi itu masih kekal dalam mandat khazanah dan khazanah akan meneruskan usaha untuk menyokong ekosistem syarikat pemula dan modal teroka sambil menambah balik mekanisme kawalan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soalan tambahan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syarleena Abdul Rashid berkenaan adakah khazanah tidak akan melabur dalam syarikat pemula atau terdapat strategi yang berbeza dalam industri tersebut.
Menurutnya lagi pelaburan Khazanah dalam Fashionvalet telah dibuat tujuh tahun yang lalu.
Justeru, pendekatan Khazanah dalam membuat keputusan pelaburan sudah dirombak dan proses pemilihan pelaburan juga telah diperketatkan, termasuk pelaburan dalam syarikat pemula dan modal teroka.
Jelasnya pelaburan modal teroka (VC) memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia, membantu negara beralih ke status berpendapatan tinggi melalui inovasi dan pertumbuhan mampan.
“Pelaburan VC berupaya memacu inovasi dengan menyediakan modal startup dan perusahaan yang berpotensi mencipta teknologi baharu.
“Selain itu, ia juga membantu mencipta peluang pekerjaan, merangsang ekonomi, dan memperkenalkan teknologi maju dari pasaran luar negara ke Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya lagi, melalui sokongan terhadap syarikat baharu, VC juga menggalakkan persaingan yang mendorong peningkatan inovasi dan produktiviti dalam ekonomi negara
“Bagaimanapun, pelaburan modal teroka adalah bersifat tiada kepastian dalam pelaburan.
“Matlamatnya adalah untuk pertumbuhan, walaupun risikonya tinggi tetapi sekiranya berjaya, akan berpotensi menjana keuntungan yang tinggi,”katanya.
Menyedari risiko dan ganjaran melabur dalam modal teroka dan ekuiti persendirian, kedua-dua pihak mengambil keputusan menguruskan pelaburan dan menilai prestasi berdasarkan portfolio pelaburan secara keseluruhan dan bukannya pelaburan tertentu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.