comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerugian jenayah dalam talian dibimbangi cecah RM1 bilion menjelang akhir tahun

FOTO: NSTP

KULAI: Kerugian akibat jenayah dalam talian dibimbangi boleh mencecah RM1 bilion menjelang hujung tahun ini susulan tahap literasi digital yang dilihat masih lemah.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sehingga Julai lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 18,660 kes jenayah dalam talian membabitkan kerugian berjumlah RM758.4 juta.

“Jika kita tidak menjadi lebih literasi digital atau celik digital, kita percaya jumlah ini akan terus meningkat dan tren membimbangkan.

“Kita menganjurkan Karnival Komunikasi bagi mendidik masyarakat. Kita tidak mahu lebih ramai menjadi mangsa dan tidak mahu kerugian mencecah RM1 bilion tahun ini,” katanya.

FOTO: NSTP

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Karnival Komunikasi 2024 di Hutan Bandar Putra di sini, hari ini.

Rang Undang-undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian berkaitan kemudaratan jenayah dalam talian dijangka dibentangkan di Parlimen, bulan depan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata, perkara itu akan diperhalusi oleh Pejabat Peguam Negara sebelum dibawa ke Kabinet.

Karnival Komunikasi bertema ‘Literasi Komunikasi, Masa Depan Harmoni’ bertujuan berkongsi maklumat dengan rakyat ke arah melahirkan masyarakat celik digital.

Teo Nie Ching berkata, karnival itu adalah antara inisiatif kementerian memberi pendedahan kepada orang awam mengenai kepentingan jalur lebar serta teknologi terkini.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Ahli Parlimen Kulai, berkata 927 stesen pemancar 5G beroperasi di seluruh Johor yang mana 77 daripadanya adalah di daerah ini.

“Setakat ini, semua stesen pemancar ini telah beroperasi yang menyaksikan liputan 5G di Johor pada kadar 84.1 peratus,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini