
KUALA LUMPUR: Sebanyak RM1.3 bilion kerugian membabitkan jenayah penipuan dalam talian direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 11 bulan pertama tahun ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia menyaksikan peningkatan sebanyak 33 peratus daripada RM771.1 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Jumlah kes penipuan turut meningkat 37.5 peratus kepada 32,462 kes berbanding 23,608 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
“Pelaburan tidak wujud merekodkan jumlah kerugian paling tinggi pada tahun ini iaitu sebanyak RM421 juta daripada 5,036 kes, diikuti e-dagang (RM382 juta/10,993 kes) dan telekomunikasi (RM327.9 juta/9,526 kes).
“Selain itu, jenayah e-kewangan pula merekodkan RM103.6 juta membabitkan 2,006 kes, manakala ‘Love Scam’ mencatatkan RM40.9 juta dengan 883 kes dan pinjaman tidak wujud merekodkan RM38.5 juta dengan 4,018 kes pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Scam Free Malaysia yang dianjurkan bersama JSJK dengan Whoscall Malaysia di sebuah kompleks beli-belah, hari ini.
Ramli berkata, setakat ini, sebanyak 318,147 nombor telefon scammer yang disenaraikan dalam aplikasi Whoscall menerusi integrasi dengan sistem Semakmule milik JSJK.
“Sejak kolaborasi ini bermula pada 4 Januari lalu hingga hari ini, pihak Whoscall memaklumkan berlaku penurunan sebanyak 50 peratus dalam kadar panggilan dijawab (scammer) direkodkan.
“Ia menyaksikan penurunan daripada 66,810 panggilan dijawab kepada 34,996 panggilan dijawab sekali gus menunjukkan impak positif dalam usaha pencegahan jenayah komersial,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran karnival itu adalah antara pendekatan diambil pihaknya bagi mengekang ancaman jenayah komersial yang semakin meningkat.
“Kita perlu memastikan orang ramai supaya mereka cakna supaya jangan mudah terpengaruh, mudah menjawab telefon, mudah ditakutkan dan mudah percaya dengan taktik scammer.
“Jika dilihat kepada kes dilaporkan kini, kes penipuan pelaburan direkodkan bukan lagi membabitkan kerugian ribuan ringgit tetapi jutaan ringgit dan keadaan itu amat membimbangkan.
“Justeru itu, kita ingatkan orang ramai bahawa proses pelaburan sebenar bukan mudah seperti diiklankan dalam media sosial yang menawarkan keuntungan tidak masuk akal ibarat duit turun dari langit,” katanya.