AMPANG: Kertas siasatan kes penunggang motosikal yang melawan arus sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya perlu melakukan siasatan lanjut sebelum kertas siasatan akan dihantar semula ke TPR dalam tempoh terdekat.
“Suspek sudah dirakam percakapannya pada 16 Jun lalu dan kita sudah rujuk kertas siasatan itu ke TPR pada Rabu lalu.
“Beberapa tindakan siasatan lanjut akan dilakukan sebelum dirujuk semula ke TPR dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam kejadian itu jam 1.05 tengah hari itu, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi Ducati maut akibat terjatuh dari jejambat SUKE berhampiran Ulu Kelang.
Mangsa berusia 60-an dari arah Ampang yang dalam perjalanan memasuki susur keluar Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Ulu Kelang cuba mengelak sebuah motosikal melawan arus.