Tumpuan :
Nasional

Kertas siasatan kes ucapan Muhyiddin diserah kepada Pejabat Peguam Negara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan membabitkan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri yang didakwa menghina bekas Yang di-Pertuan Agong dihantar ke Pejabat Peguam Negara (AGC) hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setakat ini seramai 66 saksi sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Hari ini, pegawai dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman selesai mengambil keterangannya dan beliau menjawab semua soalan diberikan.

“Susulan itu, kertas siasatan kes tersebut diserahkan kepada AGC untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri itu dilaporkan menyerahkan beberapa dokumen kepada polis, termasuk 114 dokumen yang didakwa akuan berkanun (SD) Ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri pada PRU-15 bagi membantu siasatan itu.

Media sebelum ini melaporkan polis menerima sebanyak 30 laporan berhubung ucapan Muhyiddin itu yang juga tular di media sosial.

Susulan isu itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut menzahirkan kemurkaan dan terkilan atas tindakan Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis mempertikaikan peranan Al-Sultan Abdullah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

Baginda juga mahu PDRM mengambil tindakan dan menjalankan siasatan ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini