KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa kertas siasatan berhubung kes Teoh Beng Hock berada di peringkat Jabatan Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya.
Katanya, kertas siasatan itu diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara sejak 11 Ogos 2023 selepas pihak polis selesai melakukan siasatan.
Beliau berkata PDRM perlu menunggu arahan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan seterusnya sekiranya ada beberapa perkara yang harus dilaksanakan.
“..seperti (contohnya) kertas siasatan tidak sempurna atau perlu lagi aspek siasatan untuk dilengkapkan. Pihak polis sedia memberi kerjasama,” kata Saifuddin Nasution.
Menurut Saifuddin Nasution, polis membuka semula kertas siasatan itu atas arahan Jabatan Peguam Negara dan disiasat di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah).
Teoh ditemukan mati di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang adalah setiausaha politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
Disember tahun lalu, keluarga Teoh menyerahkan surat bantahan kepada Pejabat Perdana Menteri atas alasan masih tiada orang dipertanggungjawabkan atas kematiannya.
Pada Jun 2023, ibu bapa Teoh memperolehi kebenaran mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) melengkapkan siasatan berhubung kematian anak mereka.
Sebelum itu pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Teoh bukan disebabkan membunuh diri atau dibunuh serta mendapati tiada pihak ketiga terlibat dalam kematiannya.
Pada 21 Julai 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Teoh memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.
Pada 5 September 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Teoh dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.