KUALA LUMPUR: Kertas siasatan kes simbah asid melibatkan pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).
Menurut laporan BH, perkembangan itu disahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam satu kenyataan ringkas.
Bagaimanapun ia tidak menyatakan bila kertas siasatan berkenaan dikemukakan kepada pihak AGC
“Kes ini masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kertas siasatan telah dirujuk ke kamar Peguam Negara untuk kajian dan arahan selanjutnya.
“PDRM berharap semua pihak memberikan kerjasama dan tidak membuat sebarang spekulasi agar tidak mengganggu proses siasatan yang masih dijalankan,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, PDRM tidak pernah menghentikan siasatan kes Faisal yang melecur tahap empat akibat insiden itu.
Katanya, pihaknya juga tidak berhenti berusaha mencari maklumat baharu yang dapat membantu siasatan.
Menurutnya, sejak siasatan dibuka pada Mei lalu, seramai 23 individu sudah diambil keterangan serta menahan tiga suspek bagi membantu siasatan, namun tiada bukti dapat mengaitkan ketiga-tiga suspek dengan kes terbabit.
Semalam, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dimaklumkan bahawa kerajaan negeri masih menunggu laporan siasatan insiden simbah asid terhadap Faisal.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Najwan Halimi dilaporkan berkata, Speaker DUN Selangor sudah menulis surat kepada pihak polis memaklumkan usul yang dipersetujui secara konsensus pada sidang DUN, Julai lalu.
Dalam surat itu, DUN Selangor meminta siasatan menyeluruh dibuat dan laporan hasil siasatan berkenaan didedahkan kepada umum.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.