Tumpuan :
Nasional

Kertas siasatan guru pukul murid sudah lengkap, dirujuk ke Bukit Aman

BAGAN SERAI: Kertas siasatan berhubung dakwaan seorang murid sekolah rendah di sini mengalami kecederaan selepas dipukul guru sudah lengkap.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata ia sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perak pada 27 Januari lalu.

Menurutnya, kertas siasatan terbabit akan dirujuk kepada Bahagian Siasatan Perundangan Bukit Aman kerana kes membabitkan penjawat awam.

“Selepas diteliti ia akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapatkan arahan pertuduhan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu media sebelum ini melaporkan ibu kepada mangsa berusia 12 tahun, iaitu Shahmina Mohd Azim, 39, menyatakan kekecewaan terhadap guru yang didakwa memukul anak mereka.

Dakwanya, kesan daripada tindakan guru berusia 30 tahun itu, anaknya yang juga wakil Kerian dan pelapis perenang negara, kini mengalami gegaran koklea dan sering sakit kepala, telinga berdengung, pening, muntah dan hidung berdarah.

Pada 10 Disember 2024, ahli keluarga kanak-kanak berkenaan membuat laporan polis berkaitan kes itu sebelum menariknya semula pada keesokan harinya berikutan tidak mahu memanjangkan kes berkenaan.

Namun, pada 29 Disember, ahli keluarga sekali lagi tampil membuat laporan polis dan mahu perkara itu disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini