KULAI: Polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah seksyen 316 Kanun Keseksaan susulan penemuan mayat seorang wanita dan seorang bayi yang dipercayai baru dilahirkan di Jalan Impiana Lima, Taman Impiana, di sini pagi tadi.
Ketua Polis daerah Kulai, ACP Tan Seng Lee berkata, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksima 10 tahun dan denda.
“Polis meminta mana-mana saksi yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil menyalurkan maklumat di balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Arun Ramamoorthy di talian 013-3332385 bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyatan yang dikeluarkan malam ini.
Ujarnya, balai polis Kelapa Sawit dekat sini menerima panggilan telefon kira-kira jam 8.15 pagi dari orang awam mengenai penemuan seorang wanita yang ditemui terbaring bersama seorang bayi disyaki baru dilahirkan di Jalan Impiana Lima, Taman Impiana.
Bertindak atas maklumat itu sepasukan polis dari Ibu pejabat polis daerah Kulai dan bahagian forensik Ibu pejabat polis Johor telah bergegas ke lokasi.
Hasil siasatan awal mendapati seorang wanita terbabit dipercayai warga asing terbaring ditepi jalan.
Turut ditemui disisinya seorang bayi dengan tali pusat belum dipotong.
Pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan kedua-dua mangsa telah meninggal dunia.
Siasatan yang dijalankan mendapati wanita terbabit dipercayai bukan warga tempatan.
Tiada sebarang kecederaan luaran ditemui pada kedua-dua mangsa.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk proses bedah siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.