comscore
Tumpuan :
Nasional

Kertas Putih Pertahanan antara faktor Malaysia beli pesawat tempur Korea Selatan

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

ALOR GAJAH: Pembelian 18 pesawat tempur ringan FA-50 bernilai RM4.08 bilion dari Korea Selatan telah mengambil kira pelbagai faktor, khususnya keperluan negara membabitkan aspek strategi, dasar dan Kertas Putih Pertahanan (KPP) negara.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata selain itu, aspek kepakaran dalam mengendalikan pesawat berkenaan dan ekonomi semasa negara, turut menjadi pertimbangan supaya pembelian aset terbabit dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk industri pertahanan negara.

“Banyak faktor diambil kira sebelum kita membuat keputusan membeli sesuatu aset itu. Jadi, apabila kita telah buat keputusan melalui perolehan yang telus itu, yang paling utama adalah kita dapat ‘delivered’ kepada pengguna akhir.

“Yang paling penting, aspek pertahanan negara dapat dijaga, kedaulatannya boleh dipertahankan dan pada masa sama keyakinan aset-aset ini dapat kita miliki dalam tempoh ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan penilaian Kementerian Pertahanan sebelum keputusan pembelian aset itu dibuat, pesawat tempur ringan FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries Co (KAI) berkenaan adalah yang terbaik.

Jumaat lalu, Bernama melaporkan KAI yang merupakan pengeluar tunggal pesawat Korea Selatan, memenangi perjanjian pesawat bernilai AS$920 juta (RM4.08 bilion) daripada Malaysia dan proses penghantaran pesawat berkenaan dijangka bermula 2026.

Memetik kenyataan agensi berita Yonhap, KAI memeterai perjanjian dengan Kementerian Pertahanan Malaysia untuk mengeksport 18 pesawat tempur ringan FA-50, sekali gus mengetepikan pesawat jenis Tejas (India), JF-17 (Pakistan), MIG-35 (Russia) dan Hurizet (Turkiye).

Dalam perkembangan lain, Adly berkata, Kementerian Pertahanan akan memastikan kebajikan keluarga, khususnya ibu bapa kepada anggota Tentera Darat daripada Grup Gerak Khas (GGK), Lans Koperal Edrin Baintim yang lemas ketika menjalani latihan, sentiasa terpelihara.

“Sebelum ini, Menteri Pertahanan telah mengarahkan bahagian pentadbiran melihat semua aspek bantuan diperlukan atau hak yang layak diterima keluarga mangsa, dipercepatkan.

“Mangsa (Edrin) berkorban untuk negara, dan sudah tentu memastikan kebajikan keluarga akan menjadi keutamaan kita,” katanya.

Pada 7 Februari lalu, Edrin dilaporkan hilang ketika menjalani latihan menyelam di 0.7 batu nautika barat daya Pulau Undan, di sini, ketika menjalani latihan eksesais ‘Pari Harimau’, iaitu kursus juruselam, bersama enam pegawai dan 37 peserta dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Sungai Udang.

Mayatnya ditemukan orang ramai dalam keadaan terdampar dan lengkap berpakaian sut penyelam, di pantai bakau Tanjung Sepat, Selangor, jam 10.15 pagi 19 Februari lalu. – BERNAMA

Loading...
Terkini