comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kertas Putih Kesihatan: Kaji semula caj klinik kesihatan, hospital kerajaan

KUALA LUMPUR: Kertas Putih Kesihatan mencadangkan struktur fi rendah yang dikenakan di klinik, hospital dan fasiliti penjagaan kesihatan awam lain dikaji serta disemak semula supaya lebih sepadan dengan kemampuan pesakit.

Berdasarkan dokumen setebal 57 halaman itu, reformasi berkenaan dicadangkan untuk menyasarkan subsidi penjagaan kesihatan dengan lebih baik.

FOTO: NSTP

Langkah itu juga bagi memastikan kesaksamaan dalam pembiayaan kesihatan dan isi rumah berpendapatan rendah mampu membayar perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Kadar fi rendah dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam antara ciri sistem kesihatan negara yang amat dihargai rakyat, di mana ia membolehkan akses kepada sistem kesihatan pada kos yang berpatutan.

Namun, struktur fi yang sama untuk semua telah menyumbang kepada ketidaksamaan besar antara bayaran yang dikenakan berbanding dengan kos penyediaan dan keupayaan untuk membayar, terutamanya dalam kalangan isi rumah berpendapatan tinggi.

Untuk menambah baik kemampanan pembiayaan penjagaan kesihatan awam, kadar fi yang dikenakan di fasiliti penjagaan kesihatan awam akan dikaji semula agar lebih sepadan dengan tahap kemampuan.

Kertas Putih Kesihatan yang boleh diakses di laman sesawang Parlimen, hari ini turut mencadangkan jaringan keselamatan isi rumah berpendapatan rendah dikekalkan.

Bagi tujuan itu, opsyen skim caruman progresif akan dikaji untuk mempelbagaikan sumber pembiayaan kesihatan bagi memastikan kemampanan pembiayaan kesihatan.

Satu pakej manfaat kesihatan yang menyenaraikan perkhidmatan kesihatan dan ubat-ubatan yang boleh diakses oleh rakyat, sama ada di sektor awam atau swasta dengan kadar fi yang berpatutan akan dibangunkan.

Pakej manfaat itu akan dibiayai melalui dana kesihatan khusus di bawah pengurusan Pembeli Strategik bukan berasaskan keuntungan yang ditadbir melalui pelaporan dan pengawasan yang jelas dan berkesan.

Usaha ini meningkatkan perkongsian risiko kesihatan dan kewangan dalam kalangan penduduk, di samping mengurangkan perbelanjaan duit poket sendiri dan perbelanjaan kesihatan yang memudaratkan.

Peranan Pembeli Strategik akan diperkukuhkan untuk membolehkan perolehan perkhidmatan penjagaan kesihatan daripada sektor awam dan swasta melalui model pembayaran yang inovatif dan berasaskan nilai.

Loading...
Terkini