KUALA LUMPUR: Peranan penyedia dan pembeli perkhidmatan kesihatan yang kini berada di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) akan dipisahkan secara berperingkat.
Ini bagi membolehkan KKM lebih fokus kepada peranan tadbir urus dan pengawasan menerusi pengawalseliaan, penetapan standard dan penggubalan dasar sistem kesihatan.
Dalam masa yang sama dapat memperkukuhkan peranan KKM melalui penstrukturan semula selaras dengan reformasi sistem kesihatan.
“Ini adalah usaha untuk meningkatkan efisiensi perkhidmatan dan tadbirurus sistem kesihatan dan juga untuk mengurangkan pertindihan fungsi dan aktiviti.
“Ia juga boleh mewujudkan peluang di mana sektor dan agensi lain seperti pihak swasta dan bukan kerajaan serta kementerian lain menerajui sesetengah aktiviti kesihatan yang mungkin tidak perlu diteraju oleh KKM saja,” menurut dokumen itu yang kini dapat diakses melalui laman sesawang Parlimen Malaysia.
Kertas Putih itu menerangkan peranan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan akan dijalankan oleh fasiliti penjagaan kesihatan sektor awam yang diberikan autonomi.
“Peranan pembeli perkhidmatan akan dijalankan oleh entiti pembeli Strategik, yang bertanggungjawab memperoleh perkhidmatan penjagaan kesihatan daripada penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan sektor awam dan swasta melalui model pembayaran dan berasaskan nilai yang inovatif.
“Langkah ini akan memudahkan peralihan secara berperingkat daripada peruntukan berdasarkan butiran (line-item budget) ke arah sistem yang menawarkan insentif untuk efisiensi dan prestasi.
“Pemisahan fungsi penyedia dan pembeli perkhidmatan kesihatan di KKM akan mewujudkan pengawalan yang lebih telus serta semak dan imbang yang lebih baik.
“Prestasi dan respons penyedia dan pembeli perkhidmatan penjagaan kesihatan turut akan dipertingkatkan, sekali gus dapat memberikan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih berkualiti dan bernilai untuk wang,” katanya.
Usaha untuk memperkukuhkan peranan KKM melalui penstrukturan semula akan merangkumi pelbagai inisiatif seperti menjalankan semakan semula dan mengukuhkan fungsi penggubalan dasar KKM yang berkaitan kesihatan awam dan kesiapsiagaan krisis, pengurusan tenaga kerja, serta dasar lain yang berkaitan.
Inisiatif seterusnya dengan melakukan semakan semula dan mengukuhkan fungsi kawal selia KKM seperti kesihatan awam, penetapan standard dan jaminan kualiti, pengawalan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan, pengawalan pembeli dan tadbir urus data.
Turut dicadangkan adalah usaha merekabentuk, merancang dan melaksanakan inisiatif autonomi fasiliti penjagaan kesihatan sektor awam secara berperingkat.
Inisiatif seterusnya dengan meluaskan peranan pembeli strategik, dengan struktur pelaporan dan pengawalseliaan yang jelas.