comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerjaya penyelam tiram putih di Muar kian pupus

Jika dahulu dianggarkan terdapat 100 penyelam tiram sepenuh masa di Sungai Muar, namun kini hanya berbaki 10 orang.

MUAR: Kerjaya menyelam dan mencari tiram putih atau nama saintifik “Crassostrea Magallana saidii” kian suram.

Ia gara-gara kurang minat dalam kalangan generasi baru untuk meneruskan legasi keluarga mencari tiram.

Jika dahulu dianggarkan terdapat 100 penyelam tiram sepenuh masa di Sungai Muar, namun kini hanya berbaki 10 orang.

Kerjaya menyelam dan mencari tiram di Sungai Muar yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari bandar diraja Muar telah diusahakan sejak lebih 100 tahun lalu.

Ia dilakukan secara tradisional dengan memacak kayu bakau sepanjang enam hingga sembilan meter ke dasar sungai bagi mengelak daripada dihanyutkan arus ketika menyelam mengambil tiram di dasar sungai.

Sebahagian besar menjadikan kerjaya itu sebagai punca pendapatan adalah kaum nelayan tempatan.

Ia kerana tiram sungai Muar bukan sahaja berkualiti tinggi, malah tidak terdapat di sungai lain seluruh negara. Sekaligus kerjaya ini menjanjikan pulangan yang lumayan.

Mindset generasi sekarang menyelam tiram ini tak menjamin masa depan.

Begitupun, kerjaya ini berisiko tinggi kerana seorang penyelam bukan hanya perlu mempunyai kemahiran menyelam malah perlu memiliki kepakaran membuat penilaian lokasi tiram membiak.

Sejak akhir-akhir ini, ramai generasi baru tidak berminat meneruskan kerjaya berkenaan. Mereka lebih suka berhijrah mencari pekerjaan di kota besar seperti Kuala Lumpur dan Singapura.

Justeru yang tinggal kini hanya generasi yang telah berusia dan tidak dapat meneruskan aktiviti berkenaan atas faktor usia.

Apa yang lebih membimbangkan hidupan tiram di sungai berkenaan juga terdedah kepada pelbagai ancaman termasuk isu pencemaran sepertimana yang berlaku di pantai Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Persatuan nelayan pengkalan tiram, Abdul Shukor Bahrom, tiram tidak akan pupus tetapi pekerjaan menyelam itu yang akan pupus kerana tiada generasi muda yang berminat meneruskan kerjaya berkenaan.

“Ia kerana kebanyakan generasi muda kurang bermain dengan air dan belajar berenang, jadi industri penyelaman ini akan pupus tetapi pembelaan tiram menggunakan sistem akukultur rakit dan sebagainya akan diteruskan pasal tiram ini adalah satu produk estetik yang mana orang mencarilah cuma yang ada di sini tiram muar sahaja” katanya.

Berkongsi pendapat yang sama Nasir Kassim, seorang bekas penyelam tiram berkata, mindset generasi sekarang menyelam tiram ini tak menjamin masa depan.

“Kita boleh dapat kalau kita rajin kita boleh dapat lebih tak ada anak tak ada mewarisi kalau generasi baru pun ada pun lebih kurang lima enam orang dulu penyelam lebih kurang dalam seratus orang sekarang dah tinggal sebelas orang” ujarnya yang berpengalaman lebih 20 tahun sebagai penyelam tiram di Sungai Muar.

Sementara itu, penduduk setempat berharap inisiatif dilakukan agensi kerajaan bagi menaikkan lagi nama Sungai Muar sebagai produk pelancongan berasaskan tiram diteruskan.

Ia sekali gus dapat merancakkan sektor pelancongan dan menambah pendapatan penduduk tempatan.

Menurut salah seorang peniaga tiram, Zaidi Mohd Noh, tiram putih Muar sememangnya telah dikenali di seluruh dunia. Malah ada pelancong dari Hong Kong, China dan Thailand datang semata-mata untuk makan tiram putih, tetapi sekarang akibat kekurangan tiram jumlah pelancong semakin berkurangan.

Begitupun masih ada ejen-ejen pelancongan yang membawa pelancong daripada luar negara termasuk Indonesia, dan negara sebelah barat datang sini semata-mata untuk menikmati juadah tiram di Muar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini