comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerjasama strategik Malaysia – New Zealand termeterai

Malaysia dan New Zealand memeterai dokumen kerjasama strategik yang akan memberikan manfaat tinggi kepada kedua-dua negara.

Oleh Zulfakhri Shamsul Ariffin

PETALING JAYA: Malaysia dan New Zealand memeterai dokumen kerjasama strategik yang akan memberikan manfaat tinggi kepada kedua-dua negara.

Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, berkata manfaat itu dari segi peningkatan kerjasama dan kolaborasi dua hala yang lebih meluas dalam pelbagai sector termasuk industri halal dan pertanian.

Pemeteraian kerjasama itu telah berlangsung ketika lawatan kerja sulungnya ke negara itu selama 3 hari yang berakhir Khamis lalu.

“Saya telah mengadakan Lawatan Kerja ke New Zealand dari 2-4 Mei baru-baru ini yang merupakan lawatan sulung saya ke negara-negara di rantau Pasifik sejak saya memegang jawatan Menteri Luar Negeri.

“Lawatan kerja saya ke New Zealand ini juga merupakan lawatan bersejarah bagi kedua-dua negara kerana saya dan Menteri Luar Negeri New Zealand, Nanaia Mahuta telah bersama-sama menyaksikan pemeteraian dokumen Kerjasama Strategik (Strategic Partnership – SP) Malaysia – New Zealand,” katanya menerusi satu kenyataan.

Datuk Seri Zambry Abd Kadir bersama Menteri Luar Negeri New Zealand, Nanaia Mahuta

Beliau juga memaklumkan telah mengadakan sesi perbincangan bersama rakan sejawatnya itu, Nanaia Mahuta dalam kerangka lawatan berkenaan membabitkan pelbagai isu berkepentingan bersama.

Jelasnya, empat aspek telah berjaya dibawa dalam lawatan kerja berkenaan, antaranya mengekalkan momentum hubungan dua hala yang sedia erat dengan New Zealand sekali gus menyelesaikan isu-isu tertunggak.

“Secara keseluruhannya, lawatan kerja ini telah berjaya menaiktaraf hubungan diplomatik dua hala ke peringkat Kerjasama Strategik antara Malaysia dan New Zealand.

“Ia juga berjaya menjelaskan dasar kerajaan semasa di bawah kepimpinan baharu dan membuka peluang-peluang pelaburan baru ke negara Malaysia dan New Zealand,” katanya.

Lawatan kerja ini juga melambangkan usaha berterusan Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dengan New Zealand.

Zambry berkata, New Zealand merupakan salah satu rakan dagangan yang penting buat Malaysia sejak hubungan diplomatic ditubuhkan pada tahun 1957.

Datuk Seri Zambry Abd Kadir bersama pelajar Malaysia di New Zealand

Dalam pada itu, katanya beliau turut berpeluang beramah mesra dengan Diaspora Malaysia dan meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama.

“Dianggarkan seramai 18,000 warga Malaysia berada di New Zealand yang terdiri daripada pelajar, golongan profesional serta pelabur-pelabur.

“Saya berkesempatan berbicara dengan mereka secara mendalam mengenai pengalaman sepanjang berada di New Zealand.

“Saya bangga dengan kegigihan dan kesungguhan mereka mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Loading...
Terkini