comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerjasama Malaysia-UAE: Isu keterjaminan makanan antara perkara diberi perhatian

FOTO: Zahid Hamidi / Facebook

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

DUBAI: Isu keterjaminan makanan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Tenaga dan Infrasturuktur Emeriah Arab Bersatu (UAE), Suhail Mohamed Al Mazrouei.

Menerusi satu kenyataan di Facebook, Ahmad Zahid berkata, Malaysia dan UAE sedang di dalam rangka perbincangan kerjasama untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara di dalam beberapa sektor.

“Saya dapat melihat kesungguhan UAE dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan di rantau ini dengan menjadi pusat utama bagi eksport semula produk makanan.

“Ini secara tidak langsung membuka peluang besar bagi Malaysia untuk meningkatkan eksport produk makanan dan halal ke pasaran UAE serta rantau sekitarnya,” ujarnya, hari ini.

Mengulas lanjut, pertemuaan itu turut membincangkan potensi kerjasama dalam sektor pengurusan logistik dan pelabuhan khususnya dengan penggunaan teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI) yang telah digunakan UAE dalam pengurusan pelabuhan mereka dan terbukti berjaya mengoptimumkan pengendalian kontena dan meningkatkan efisiensi logistik.

Menurutnya, jika teknologi itu diaplikasikan di Malaysia, pastinya dapat membantu meningkatkan kapasiti dan daya saing pelabuhan tempatan terutama di Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Westports.

FOTO: Zahid Hamidi / Facebook

“Saya sendiri telah melihat, UAE melalui Space42 mempunyai sistem pemantauan bencana yang canggih. Ini berpotensi untuk membantu Malaysia dalam membangunkan sistem amaran awal (early warning system) yang mampu meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menangani bencana dengan lebih cekap.

“Kami turut melihat potensi kerjasama dalam pembangunan pusat data dengan penggunaan tenaga hijau. Ini kerana UAE telah melabur secara signifikan dalam infrastruktur melibatkan empat reaktor nuklear yang berjaya menyumbang kira-kira 25 peratus keperluan elektrik di negara tersebut,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid juga menyambut baik cadangan UAE untuk berkolaborasi dengan Malaysia dalam bidang teknologi data bagi memperkasa fungsi dan data sekuriti di Malaysia.

“Saya juga menyatakan penghargaan atas sokongan UAE terhadap Malaysia sebagai negara rakan BRICS. Diharapkan hubungan erat ini akan membuka lebih banyak peluang baharu bagi rakyat Malaysia serta meningkatkan kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa sebagai rakan strategik yang kukuh. Insya-Allah.” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini