comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerjasama KKD-MPB fokus tiga aspek

Fahmi bersama timbalannya Teoh Nie Ching mencuba bakat membaca berita ketika melawat Sri Pentas, Media Prima Bhd. – FOTO: NSTP/Genes Gulitah

PETALING JAYA: Kesahihan laporan berita, membantu menyebarkan usaha kerajaan serta bersama menangani isu dan cabaran semasa secara kolektif adalah tiga perkara yang digariskan dalam kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Kumpulan Media Prima Berhad (MPB).

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, berkata kerjasama dengan MPB bertujuan memastikan berita ataupun maklumat disampaikan adalah sahih dan benar serta memastikan usaha Kerajaan Perpaduan dapat dijelaskan kepada rakyat.

“Kali ini, saya dapat lihat lebih mendalam operasi (MPB), selain daripada isu membabitkan cabaran yang dihadapi oleh syarikat Media Prima. Saya dengan Timbalan Menteri (Teo Nie Ching) bersedia untuk bekerjasama dengan Media Prima.

“Untuk kita tangani beberapa isu ataupun cabaran secara bersama kerana kita lihat suasana untuk operator media pada hari ini, sangat mencabar walaupun di pihak kerajaan, kami tidak masuk campur dalam kerja syarikat (media) swasta,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi MPB di Sri Pentas, di sini pagi tadi.

Kehadiran delegasi KKD disambut Pengerusi MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan, Rafiq Razali; Timbalan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia, Datuk Michael Chan dan barisan kepimpinan yang lain.

Ia adalah kunjungan rasmi pertama oleh Fahmi dan Nie Ching ke Sri Pentas selepas dilantik menerajui KKD.

Menyentuh cabaran media dalam era globalisasi, Fahmi memberi jaminan pihaknya akan meneliti landskap kebebasan media di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya serius mengenai perkara itu dalam usaha memastikan ekosistem media negara di tahap yang terbaik.

“Antara perkara yang saya dengan timbalan menteri akan teliti termasuk juga isu kebebasan bagi pihak media untuk bertugas.

“Kami amat serius mengenai hal ini dan kami nak memastikan kita ada hubungan kerja yang cemerlang dengan Media Prima.

“Termasuk juga dengan syarikat media lain untuk memastikan kebebasan media bukan sahaja dihormati tetapi diangkat.

“Pada masa sama, kita akan pastikan undang-undang dipatuhi juga termasuk adat serta budaya di Malaysia dihormatinya,” katanya.

Loading...
Terkini