comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerjasama Kerajaan Perpaduan dijangka kekal hingga penggal akan datang – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan akan kestabilan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk dengan sokongan 18 parti politik dan beberapa Ahli Parlimen Bebas selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut laporan FMT, Perdana Menteri menjangkakan kerjasama di peringkat Persekutuan bukan sahaja sepanjang penggal sekarang, tetapi juga selepas pilihan raya akan datang.

“Buat masa ini, keadaan sudah reda, stabil dari segi politik. Saya fikir gabungan ini bekerjasama dan saya fikir akan terus bekerjasama selepas penggal ini.

“Jika kita bertegas dan konsisten dengan dasar kita, maka saya percaya kita akan diberi mandat untuk terus mentadbir,” katanya dalam temu bual FMT di Pejabat Perdana Menteri.

Pada masa sama, Anwar berkata, ia ‘akan menjadi petanda yang baik’ bagi Malaysia jika kerajaan Perpaduan terus mentadbir.

Katanya, beliau yang akan melepasi tahun kedua sebagai Perdana Menteri pada 24 November ini, mengatasi tempoh jawatan perdana menteri terdahulu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang berkhidmat kurang daripada 18 bulan.

“Dalam erti kata itu, kami cukup selesa,” katanya.

Kerajaan Perpaduan dicadangkan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebagai penyelesaian kepada Parlimen yang pertama kali digantung selepas PRU15.

Empat gabungan besar membentuk Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beberapa pemimpin parti berharap kerjasama antara PH dan BN diteruskan selepas pilihan raya akan datang.

Julai lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dilaporkan berkata, kerjasama PH-BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini sudah cukup menunjukkan Kerajaan Perpaduan kukuh.

Begitu juga, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan kerjasama itu akan diteruskan selepas PRU16, walaupun BN masih belum membuat keputusan rasmi mengenai pakatan menghadapi pilihan raya.

Perkembangan itu berlaku di sebalik dakwaan Perikatan Nasional (PN) yang berulang kali mendakwa orang ramai, terutama orang Melayu, tidak sokong BN dan PH bekerjasama dalam kerajaan Perpaduan.

Pembangkang juga mendakwa bahawa Islam terancam dan orang Melayu keciciran ketika pentadbiran kerajaan Perpaduan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini