KUALA LUMPUR: Lincoln University College (LUC) menandatangani kerjasama strategik dengan Cengild G.I. Medical Centre dalam usaha memperkukuhkan pendidikan dan latihan dalam bidang kejururawatan.
Menurut institusi itu, langkah ini juga antara usaha menjadikan LUC sebagai pusat rujukan dan hab utama bagi melahirkan tenaga pakar kejururawatan terlatih di Malaysia.
“MoU bermakna ini menyaksikan tiga fokus melibatkan tiga komponen utama iaitu Penajaan Pelajar Diploma Kejururawatan.
“Pihak Cengild akan menyediakan biasiswa kepada pelajar yang layak di bawah perjanjian yang telah ditetapkan, Latihan Klinikal dan Penggunaan Fasiliti Hospital dan pelajar akan mendapat pendedahan praktikal di hospital di bawah pengurusan Cengild bagi memastikan mereka memenuhi keperluan Lembaga Kejururawatan Malaysia dan Penggunaan Identiti Jenama Hospital serta untuk tujuan promosi pengambilan pelajar dan pembangunan latihan,” menurut kenyataan itu.
Menurut Naib Presiden Hal Ehwal Korporat & Serantau Amin Mohd Shukor, kerjasama ini adalah langkah strategik untuk menjadikan LUC sebagai pusat kecemerlangan dalam menyediakan tenaga kejururawatan yang berkemahiran tinggi.
“Melalui gabungan pendidikan berkualiti dan pengalaman praktikal, kami yakin dapat menyumbang kepada keperluan tenaga kerja sektor kesihatan negara.
“Sebagai rakan kongsi, Cengild komited untuk memastikan pelajar bukan sahaja mendapat pendidikan berkualiti tetapi juga pengalaman industri yang relevan.
“Pusat perubatan ini akan memantau perkembangan akademik pelajar secara berkala dan menyediakan insurans bagi melindungi keselamatan awam dan liabiliti hospital sepanjang tempoh MoU.”
Majlis tersebut turut dihadiri Aslin Hafiza Ali (Ketua Pegawai Operasi Lincoln University), Razlyn Amieza Aron (Pengarah Klinikal & Kolaborasi, Sekolah Kejururawatan & Sains Kesihatan Gunaan) dan Thilashiny Letchumanan (Pengurus Sumber Manusia Cenglid G.I Medical Centre).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.