Oleh Amirulhakim Lokman
PETALING JAYA : Kebakaran bangunan lama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Gasing di sini hari ini, dipercayai berpunca daripada kerja perobohan struktur dalaman.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, berikutan aktiviti itu, percikan api kemungkinan tercetus di bahagian pelapisan material yang mudah terbakar.
“Bangunan KWSP telah diserahkan kepada kontraktor untuk kerja-kerja pengubahsuaian dan penyelenggaraan. Memandangkan tiada kakitangan yang ditugaskan ke bangunan itu, termasuk tugasan berkaitan elektrik atau berkaitan komputer, kemungkinan besar kebakaran itu dipercayai adalah akibat kerja dalaman.” katanya.
Namun, katanya siasatan lanjut akan dijalankan terhadap punca kebakaran.
Terdahulu kebakaran kira-kira jam10 pagi itu dapat dikawal 10 minit kemudian.
13 jentera digerakkan ke lokasi melibatkan 51 anggota dan pegawai bomba.
Bangunan sama sebelum ini pernah terbakar pada 12 Februari 2018.