JOHOR BAHRU: Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, Ling Tian Soon memaklumkan kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa bahan terjadual yang ditemukan di Taman Perindustrian Tiong Nam dan Taman Perindustrian Tropika akan mengambil masa tujuh hari.
Katanya kerja pembersihan itu dijangka siap sepenuhnya pada 22 September.
Beliau berkata, proses lawatan ke tapak sudah dilaksanakan semalam dan pihak kontraktor akan kemuka cara dan kaedah pembersihan kepada jawatankuasa bencana.
Menurutnya, mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana daerah (JPBD) Johor Bahru bersidang pada 9 September 2024 dan melantik bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan sisabahan terjadual itu seperti terma rujukan (TOR) yang ditetapkanoleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Katanya, orang awam dinasihatkan tidak panik semasa tempoh kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa bahan terjadual dilaksanakan di kawasan terbabit dan mengikut langkah-langkah pencegahan yang disarankan.
“Orang awam dinasihatkan tidak memasuki dan berada dikawasan kejadian.
“Malah mereka dinasihati segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala seperti sesak nafas, sakitdada, loya, muntah dan pening kepala selepas terhidu bau yang disyaki akibatpembuangan sisa kimia.
“Mereka juga diminta tidak melakukan sebarang aktiviti berdekatan kawasan Sungai Tebrau dan SungaiPlentong sehingga arahan seterusnya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, orang ramai seharusnya elak melakukan aktiviti di luar rumah terutamanya kumpulan berisikoseperti ibu hamil, pesakit kronik, kanak-kanak dan warga emas.
“Mereka yang berkemungkinan terdedah kepada sisa kimia berkaitan dinasihatkansupaya mandi dan mencuci pakaian secara berasingan bagi mengelakkan pendedahan menerusi kulit.
“Mereka boleh mengikuti maklumat terkini kejadian ini dari sumber maklumat yang sahih dan mematuhiarahan pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam menjadi keutamaan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak panik dan sekiranya mempunyai sebarang maklumat yang berkaitan boleh disalurkan kepada JAS Johor di talian 1-800-88-2727 atau Bilik Gerakan Pusat KawalanOperasi Bencana (PKOB) Johor Bahru di talian 07-220 0604 bagi membolehkan tindakan segera diambil.
“Kerajaan Negeri juga mengecam tindakan pihak terbabit yang jelas mengambil jalan pintas melupuskan sisa bahan terjadual secara haram.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang sabit kesalahan boleh dipenjara mandatori dan didenda maksimum RM10 juta,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.