JOHOR BAHRU: Kerja pembersihan flat uzur di Taman Ungku Tun Aminah di sini, sedang dijalankan bagi meningkatkan keselesaan penghuni.
Penduduk di Flat Taman Ungku Tun Aminah, melahirkan rasa syukur susulan luahan rasa kecewa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar terhadap keadaan bangunan, penyelenggaraan serta tahap kebersihan flat-flat kos rendah di negeri ini yang dalam keadaan daif, dipenuhi sampah sarap yang dibuang merata-rata sehingga jadi tempat pembiakan serangga berbisa.
Dalam titah pada Isnin lalu, baginda berharap kerajaan pusat akan memberi bantuan untuk membaik pulih flat kos rendah yang lama, manakala penduduk diminta sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan persekitaran kawasan flat mereka.
Bagi Siti Rasidah Md Nor, 43, keadaan flat berkenaan semakin ceria menerusi membersihkan sampah pukal yang dijalankan sejak petang semalam, selain kutipan sampah dan pembersihan longkang di sekitar flat berusia 40 tahun itu.
“Penduduk menghargai pelbagai inisiatif dijalankan oleh kerajaan. Penghargaan utama kami adalah kepada Tuanku kerana mengetengahkan isu ini dan semuanya ada hikmah, keadaan flat ini semakin baik dan penduduk juga lebih selesa.
“Sebelum ini ada saja isu yang membelenggu penduduk termasuk bumbung bocor, masalah pembiakan denggi, sampah dan sebagainya. Kini kami lega apabila dimaklumkan kerja baik pulih akan dilakukan secara berperingkat.
“Bagaimanapun kami berpendapat kerja pembersihan perlu dilakukan secara berkala dan bukan saja pada masa tertentu bagi meredakan isu,” kata Siti Rasidah.
Seorang lagi penduduk, Chai Sook Fong, 55, berkata mereka juga berharap supaya flat berkenaan dicat semula supaya ia berwajah baharu.
Menurutnya, kebanyakan penduduk di situ adalah golongan B40 yang sibuk bekerja dan segelintir tidak mampu membayar yuran penyelenggaraan.
“Saya tinggal di sini bersama adik dan sudah dua tahun kami di sini. Kemudahan di sini rata-ratanya sudah lama, namun penduduk masih menggunakannya kerana tiada pilihan lain.
“Kami gembira apabila kerajaan negeri dan pusat mengambil berat masalah flat ini dan difahamkan kerja pembersihan akan dijalankan selama beberapa hari,” katanya.
Di seluruh Johor, terdapat lebih 100 projek flat awam dan mengikut data, 100 daripadanya dalam kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Majlis Perbandaran Kulai (MPkU).
Flat Taman Ungku Tun Aminah menempatkan 44 blok dengan 4,085 unit rumah, antara flat dengan jumlah kepadatan penduduk yang tinggi di Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, menyatakan sudah tiba masanya kerajaan pusat menyediakan peruntukan khas untuk menyelenggara flat awam yang bermasalah.
Selain isu kebersihan, masalah dihadapi termasuk kebocoran bumbung, sistem pendawaian dan perpaipan.