Tumpuan :
Nasional

Kerja baiki paip di dasar Sungai Perai selesai

Petugas Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) meninjau kerja-kerja penggantian dua unit injap kawalan 1.2 meter di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua. FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Kerja membaiki saluran paip di dasar Sungai Perai berjaya disiapkan semalam.

Sungai Perai adalah lokasi terakhir daripada keseluruhan 22 lokasi di seluruh Pulau Pinang yang menjalani kerja pembaikan sampingan, selain kerja utama mengganti dua unit injap 1,200 milimeter (mm) di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam satu kenyataan memaklumkan, setakat jam 7 malam tadi, kerja mengikat pengapit yang diubah suai pada saluran itu siap sepenuhnya dan ujian sedang dilakukan untuk meningkatkan tekanan pam air terawat secara beransur-ansur melalui bahagian yang dibaiki.

“Jika berjalan lancar, peringkat kedua pemulihan air mungkin bermula lewat malam ini (malam tadi) atau awal pagi esok (pagi ini).

“Mengikut jadual asal, peringkat kedua sepatutnya dimulakan pada jam 6 pagi 12 Januari membabitkan pemulihan air kepada 84 peratus atau 495,065 daripada keseluruhan 590,000 pengguna yang terjejas di Seberang Perai dan di bahagian pulau,” katanya.

Terdahulu, PBAPP memaklumkan kerja-kerja penggantian dua injap utama LRA Sungai Dua disiapkan pada jam 11 malam tadi, beberapa jam lebih awal dari yang dijadualkan.

Sebanyak 590,000 akaun pengguna di seluruh Pulau Pinang terjejas dengan gangguan bekalan air berjadual bermula jam 6 pagi kelmarin.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya 101 kawasan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam, manakala 157 kawasan membabitkan Daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini