comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerja baik pulih lokasi tanah runtuh Taman Wawasan 3 belum selesai

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

PUCHONG: Kerja membaik pulih susulan tragedi tanah runtuh di Taman Wawasan 3 Pusat Bandar Puchong, di sini pada 16 Disember tahun lalu masih belum selesai.

Penduduk berharap usaha membaik pulih di kawasan itu dilakukan segera, kerana bimbang keselamatan mereka.

Ketika tinjauan dilakukan siang tadi, laluan masuk ke kawasan yang terkesan didapati ditutup dengan zink dipercayai bagi kerja membaik pulih.

Papan notis yang dipasang pula memaklumkan, kerja membaik pulih yang bermula sehari selepas insiden tanah runtuh sepatutnya selesai pada 16 Mac lalu, namun sehingga hari ini belum selesai.

Pemerhatian Buletin TV3 mendapati kelihatan beberapa pekerja pembinaan sedang melakukan kerja-kerja pembaikan, selain beberapa jentera seperti lori dan jengkaut berada berhampiran kawasan terjejas.

Bagaimanapun tiada sebarang pergerakan keluar masuk oleh penghuni ke kediaman mereka yang terkesan.

“Ini sudah lama. Bulan ini baru datang kontraktor dan katanya siap hujung bulan ini. Enam bulan lagi itu (tempoh masa siap dilanjutkan).

“Penduduk disana ada lapan buah rumah banyak bising la. Banyak sewa rumah, susah juga. Harap buat cepat sebab banyak lori nak jalan-jalan pun susah juga,” kata Jim, penduduk setempat ketika ditemui, di sini, siang tadi.

Jim, penduduk.

Tidak terkecuali seorang lagi penduduk setempat Aswali Alilala yang mahu pihak berkuasa tempatan mengambilan pendekatan segera menangani isu ini.

“Pihak berkuasa atau yang berkaitan kena ambil pendekatan dengan lebih cepat nanti ada kemalangan jiwa ke macam mana kan kita harap pihak berkuasa ambil tindakan dengan cepat.” kata Aswali

Aswali, penduduk.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kejuruteraan, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Ir Dr Mohd Ariffudin Kamari ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menjalankan kerja-kerja darurat seperti pemasangan cerucuk sebagai penahan cerun yang telah siap 20 Februari lalu, dan kerja pembaikan cerun secara kekal sedang berjalan sejak awal Mei ini.

“Pihak kontraktor telah selesai bagi kerja-kerja ukur tapak, mobilasi jentera dan bahan binaan. Kerja-kerja ini telah bermula seawal Mei 2024.

“Terkini adalah kerja pemasangan besi untuk sub-struktur tapak penahan (reinforcement works for gabian wall base) sedang dijalankan oleh pihak kontraktor, dan seterusnya kerja pembinaan longkang monsoon (monsoon drain), tembok penahan dan pembentukan semula permukaan cerun akan di laksanakan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Tambahnya kerja-kerja pembaikan sedang dilakukan ketika ini, justeru penghuni tidak dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing bagi menjamin keselamatan.

Kerja membaik pulih dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.

Pada 16 Disember tahun lalu, penghuni di tujuh rumah di Jalan Wawasan 3/9, Pusat Bandar Puchong diarahkan mengosongkan kediaman masing-masing selepas berlaku tanah runtuh di kawasan itu yang dipercayai berpunca akibat hujan lebat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini