comscore
Tumpuan :
Nasional

Kerja baik pulih cerun Sungai Ruil ambil masa dua tahun

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kerja-kerja baik pulih cerun yang runtuh di Sungai Ruil, Cameron Highlands pada Oktober lalu sehingga menjejaskan 17 keluarga Orang Asli akan mengambil masa dua tahun membabitkan peruntukan melebihi RM3 juta.

Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) memaklumkan, ia berdasarkan laporan siasatan awal aspek teknikal pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dibuat pada awal November lalu, sebagai tindakan jangka panjang bagi menyelesaikan isu berkenaan.

“Ini termasuk pengukuhan dan penstabilan cerun di persekitaran kawasan terjejas yang akan dilaksanakan JKR dan dijangka dapat diselesaikan serta penyerahan projek pada November 2025,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian 12 Oktober lalu, 88 Orang Asli di Sungai Ruil daripada 17 keluarga diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan insiden tanah runtuh berpunca daripada paip bawah tanah pecah dan kekerapan hujan pada waktu malam.

Semalam,sebuah portal berita melaporkan, Ahli Dewan Negara, Datuk Ajis Sitin merayu campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu mangsa yang masih tersadai di sebuah dewan sejak kejadian tersebut.

Ajis mendakwa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan JAKOA tidak mengambil tindakan drastik untuk menangani masalah terbabit.

Sebagai respons terhadap dakwaan berkenaan, JAKOA beranggapan dakwaan itu bersifat berat sebelah tanpa merujuk jabatan itu mengenai status terkini isu tersebut.

Menurut JAKOA, pihaknya telah mengenal pasti beberapa bangunan kuarters kerajaan atau badan berkanun di sekitar kawasan berhampiran, selain mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menempatkan mangsa.

“Melalui perbincangan, mangsa terbabit akan ditempatkan sebaik sahaja isu berkaitan kemudahan fasiliti seperti penyambungan bekalan api dan air diselesaikan terlebih dahulu selewat-lewatnya awal Januari 2024,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, JAKOA sentiasa komited dan akan terus membantu keluarga Orang Asli yang terjejas dalam memastikan kebajikan mereka terjaga supaya dapat menjalani kehidupan seperti biasa walaupun terpaksa tinggal di penempatan sementara.

Loading...
Terkini