SHAH ALAM: Kerja pengalihan kontena yang terbabit kemalangan sehingga menyebabkan pencemaran bau di Sungai Semenyih sudah selesai malam tadi.
Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan berkata, kerja pengalihan kontena berkenaan dilakukan kontraktor lantikan pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
“Kerja penyedutan sisa cecair minyak wangi itu pula dilakukan kontraktor yang dilantik LUAS turut selesai sepenuhnya pada sekitar jam 9.20 malam tadi,” katanya dalam Facebook rasmi LUAS hari ini.
Sementara itu, LUAS turut memaklumkan, bau di lokasi pemantauan statik LUAS iaitu 1.5 kilometer daripada muka sauk loji sehingga jam 1 pagi tadi masih dikesan sebanyak dua ton.
“Manakala bau satu ton masih dikesan di muka sauk loji Jenderam Hilir dan empat ton di muka sauk Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi.”
“Selain peletakan 18 beg Actived Carbon (AC) yang ditambah oleh LUAS di lokasi pencemaran dan pertemuan Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih, Air Selangor juga membantu dengan peletakan 20 beg AC di lokasi Sungai Limau Manis bagi meningkatkan nyah bau,” katanya.
“Pemantauan dibuat sehingga bacaan bau mencapai 0 ton sebanyak tiga kali berturut bagi membolehkan LRA beroperasi semula.
“Kita berharap aliran yang masih berada dalam aliran Sungai Semenyih akan segera ‘flush’ dan ‘dilute’ ke hilir muka sauk loji,” katanya.
Media semalam melaporkan LRA Sungai Semenyih dihenti tugas pada jam 2 pagi dan LRA Bukit Tampoi pada jam 6 pagi berikutan pencemaran bau dalam aliran sungai terbabit.
Siasatan LUAS mendapati, insiden berpunca daripada tumpahan cecair daripada lori yang membawa muatan pati minyak wangi terbabit kemalangan di Kilometer 44.1 arah utara, Lebuhraya Elite berdekatan Bandar Serenia iaitu sekitar enam kilometer dari sempadan Selangor.
Jarak lokasi kemalangan ini ke LRA Sungai Semenyih adalah sekitar 6.4 kilometer dan ke LRA Bukit Tampoi sekitar 18 kilometer.