Oleh: Azri Mukhlas
MAKKAH: Kerinduan selama tujuh tahun akhirnya terubat apabila dua adik beradik, Nurul Farhanah dan Nurul Syazwani Sajari akhirnya dapat menziarahi pusara arwah ayah mereka di Tanah Perkuburan Maqbarah Soraya di Makkah.
Nurul Farhanah, 31, Nurul Syazwani, 29, dan seorang lagi adik mereka Muhammad Syamil, 28 tahun menjadi yatim apabila ayah mereka, Sajari Sawi meninggal dunia sewaktu menjadi petugas Tabung Haji menyantuni Dhuyufurrahman pada tahun 2016.
Ibarat jatuh ditimpa tangga, dua tahun kemudian, ibu mereka pula Faridah Harun meninggal dunia akibat barah gusi.
Nurul Farhanah yang ketika itu masih menuntut mengakui kerinduan terhadap ayahnya amat mendalam dan ada membuat perancangan bersama adik-beradik dan ibunya untuk menziarahi pusara ayah mereka.
“Ada perancangan dengan arwah mak, tetapi selepas setahun abah meninggal, mak pula jatuh sakit, jadi perancangan itu tidak dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui di maktab penginapannya di Abraj Janadriyah.
Namun, segala kerinduan itu akhirnya terubat apabila kedua-dua adik beradik ini mendapat giliran menunaikan haji pada tahun ini, dan kesempatan ini digunakan untuk menziarahi pusara ayah mereka.
Bagi Nurul Syazwani, kunjungan ke tanah perkuburan yang terletak kira-kira 15 kilometer dari maktab penginapan mereka ini sekurang-kurangnya mengubat kerinduannya walaupun tidak mengetahui kedudukan sebenar pusara ayahnya kerana semua persemadian di Makkah tidak bertanda.
Sajari, ketika itu berumur 58 tahun dilaporkan meninggal dunia sewaktu menunaikan solat subuh di Mina akibat serangan jantung pada 14 September 2016.
Allahyarham adalah anggota di Jabatan Khidmat Pendeposit dan Operasi, Ibu Pejabat TH Kuala Lumpur dan telah berkhidmat dengan TH sejak tahun 1985.
Kedua-dua adik beradik ini tiba di Tanah Suci pada 30 Mei lalu menerusi penerbangan KT32.